Dari kucing jalanan jadi selebriti

Yoyo bersama Shafa dan suaminya, Mohamad Firdaus Mohamad.
Yoyo bersama Shafa dan suaminya, Mohamad Firdaus Mohamad.
A
A
A

GEORGE TOWN – Bermula sebagai anak kucing kurus yang merayau di bawah flat, siapa sangka Yoyo kini menjadi antara kucing paling dikenali di Pulau Pinang sehingga mempunyai peminat dari dalam dan luar negara.

Bagi Shafa Yaacob, 30-an, Yoyo bukan sekadar kucing peliharaan, sebaliknya dianggap seperti anak sendiri termasuk ketika si bulus itu berdepan detik getir akibat Feline Infectious Peritonitis (FIP) pada 2023.

Menurut Shafa yang menetap di Persiaran Karpal Singh, Yoyo ditemui dalam keadaan kurus dan comot ketika berusia kira-kira empat hingga lima bulan.

“Saya memang suka selamatkan kucing jalanan. Masa itu saya nak ambil Yoyo, tetapi dia lari. Tak sangka Yoyo kemudian ditemui seorang kanak-kanak yang kami panggil Adik Nor.

“Dia bawa Yoyo kepada saya untuk dimandikan kerana mahu menjaganya di rumah. Daripada situ, kami mula menjaga Yoyo bersama,” katanya kepada Sinar Ahad.

Yoyo kucing 'healing' yang mempunyai ramai peminat dalam kalangan pencinta kucing.
Yoyo kucing 'healing' yang mempunyai ramai peminat dalam kalangan pencinta kucing.

Shafa yang ketika itu menjalankan kerja dandanan kucing atau grooming banyak membantu keluarga Adik Nor dalam soal makanan, rawatan dan penjagaan Yoyo.

Menariknya, Yoyo mempunyai tabiat unik iaitu menggunakan tandas manusia untuk membuang air dan bukannya pasir kucing.

Artikel Berkaitan:

“Dia memang pandai. Saya dan Adik Nor sudah beli litter box dan pasir tetapi Yoyo tak mahu guna. Dia masuk tandas, kencing dan buang air besar, kemudian lap kaki sebelum keluar.

“Saya kata baguslah, jimat kos. Bagi saya Yoyo istimewa kerana ia hanya kucing jalanan tidak bertuan tetapi caranya seperti sudah diajar,” katanya sambil ketawa.

Peluk kek Apollo, Yoyo popular

Kehidupan Yoyo berubah pada 2022 apabila video memaparkan ia memeluk kek Apollo dirakam Shafa secara spontan di kawasan flat.

Video yang dimuat naik di TikTok pada 14 Julai 2022 itu meraih kira-kira 46.4 juta tontonan dan tujuh juta tanda suka.

“Lebih lucu, video berkenaan pernah didakwa sebagai video kucing dari Los Angeles sebelum pengguna media sosial menyedari sebuah Perodua Bezza dalam rakaman itu, sekali gus mengesahkan Yoyo sebenarnya berasal dari Malaysia.

“Selepas tular, Yoyo mula dibawa bertemu peminat termasuk ke Padang Kota Lama yang kemudian menjadi antara lokasi popular peminat mencarinya,” katanya.

Keletahnya yang bersahaja menarik minat orang ramai terutamanya ketika dibawa bersiar di sekitar bandar George Town.
Keletahnya yang bersahaja menarik minat orang ramai terutamanya ketika dibawa bersiar di sekitar bandar George Town.

Populariti itu turut hadir bersama kontroversi apabila Shafa pernah dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana didakwa menggunakan Yoyo untuk mendapatkan wang selain dituduh menganiayanya.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan mendapati Yoyo lengkap vaksinasi, mempunyai makanan dan air mencukupi serta berada dalam keadaan sihat.

“Saya lebih rela menggunakan wang untuk memberi makan kucing jalanan berbanding melayan karenah warga net yang tidak memahami tujuan saya menjaga Yoyo,” ujarnya.

Sehingga kini, Yoyo masih bergilir tinggal bersama Shafa dan keluarga Adik Nor, manakala Shafa menanggung sebahagian besar keperluannya termasuk makanan dan rawatan.

“Bila ada jemputan atau kerja berkaitan Yoyo, kami akan bawa dia. Kalau ada bayaran, kami berkongsi dengan keluarga Adik Nor tetapi saya lebihkan kepada keperluan Yoyo kerana komitmennya tinggi.

“Yoyo tak boleh beritahu kalau sakit, jadi makanan dan perubatan memang saya utamakan,” katanya.

Populariti Yoyo turut membuka peluang kepada Shafa menerima pekerjaan membuat ulasan produk makanan dan keperluan kucing.

Terbaharu, Yoyo menjadi duta produk makanan tambahan dan treat kucing, Ellbow bagi tempoh Julai hingga Oktober.

Shafa menegaskan, dia tidak akan memaksa Yoyo melakukan sesuatu sekiranya haiwan itu tidak selesa atau tidak mahu makan produk diberikan.

Dari ‘kakak’ kepada mummy

Titik paling mengubah hubungan mereka berlaku pada 2023 apabila Yoyo jatuh sakit akibat FIP.

Menurut Shafa, keadaan Yoyo kritikal apabila tidak mahu makan, mengalami jaundis tinggi, terdapat air dalam perut serta keradangan pankreas sehingga perlu dimasukkan ke wad kira-kira empat bulan.

“Keseluruhan kos rawatan, makanan dan ubat sepanjang kira-kira empat bulan mencecah RM15,000 hasil simpanan saya dan sumbangan orang ramai.

“Dalam tempoh itu juga, saya mula mengubah panggilan diri daripada ‘kakak’ kepada ‘mummy’. Waktu ia sakit, saya kata, ‘Yoyo pun anak mummy juga’, sama seperti adik-adik yang lain. Selepas itu Yoyo mula mahu makan.

“Saya tak tahu sama ada kebetulan atau tidak tetapi bagi saya itu satu kenangan yang sangat bermakna,” katanya.

Yoyo bersama penjaganya yang dikenali sebagai Adik Nor.
Yoyo bersama penjaganya yang dikenali sebagai Adik Nor.

Yoyo kini sudah pulih sepenuhnya. Bagi Shafa, pengalaman menjaga Yoyo bukan sekadar membawa rezeki, malah mengubah cara dia melihat kehidupan haiwan jalanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!