MB Terengganu jawab dakwaan tiada peruntukan kepada ADUN BN

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini tampil menjawab dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN)Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bahawa tiada peruntukan disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Terengganu bagi membantu golongan terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, ia berlaku disebabkan terdapat 'missing link' (tiada pautan) antara ADUN BN dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) buat masa ini.

"Model jawatankuasa komuniti kampung yang sedia ada pada waktu ini adalah model yang dibina sebelum pembentukan muafakat politik (Muafakat Nasional).

"Saya yakin sekiranya berlaku penambahbaikan pada komposisi MPKK dengan mengambil kira wakil yang pelbagai dalam masyarakat dan muafakat politik baharu di peringkat nasional, keadaan baharu yang lebih inklusif ini boleh diurus supaya menjadi lebih baik dan harmoni pada masa depan.

"Insya-ALLAH dengan pendekatan yang cermat, dan penjelasan yang menyeluruh kepada rakyat dan pimpinan parti-parti politik, kita mampu untuk mencapainya di negeri Terengganu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai bantuan disalurkan kerajaan terhadap individu terjejas akibat wabak koronavirus (Covid-19), katanya bantuan itu perlu disampaikan pada rakyat yang memerlukan tanpa mengira warna politik.

Katanya, ia juga perlu diagihkan segera dalam keadaan pergerakan yang terhad ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebanyak RM10 juta untuk membantu golongan yang terjejas di mana peruntukan ini disalurkan kepada kerajaan negeri dan perlu diuruskan dengan segera.

Artikel Berkaitan:

"Kita mengambil keputusan untuk mengagihkan bantuan ini menerusi agensi rasmi kerajaan iaitu Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan MPKK yang paling hampir dengan rakyat serta bertanggungjawab secara langsung terhadap kebajikan mereka.

"MPKK akan menilai senarai mereka yang layak dengan merujuk berbagai data (dari agensi kerajaan negeri dan Persekutuan) di samping penentuan keadaan sebenar fizikal di bawah.

"Arahan khusus telah diberikan pada MPKK supaya berlaku adil, menyampaikan bantuan pada yang selayaknya tanpa mengira warna politik penerima," katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri turut menyalurkan sebahagian bantuan Covid-19 berjumlah RM45,000 kepada ADUN BN di negeri Terengganu kerana pihak kerajaan memahami keperluan dan tugasan yang perlu dijalankan oleh ADUN di kawasan masing-masing.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan yang dilemparkan itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau menghormati Ahmad Said sebagai mantan Menteri Besar Terengganu serta rakan pentas politik.

Kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook, Ahmad Said Rabu lalu.
Kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook, Ahmad Said Rabu lalu.

"Saya terbuka untuk menerima apa jua pandangan dan kritikan walaupun sebenarnya saya rasa beliau boleh sahaja menghubungi saya atau bertemu untuk memberikan pandangan atau cadangan," katanya.

Terdahulu, Ahmad menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya mendakwa tiada satu sen pun peruntukan disalurkan kepada ADUN BN di negeri ini.

Katanya, walaupun setiap DUN sepatutnya mendapat peruntukan sebanyak RM300,000, wakil rakyat BN hanya mendapat RM45,000 sahaja manakala bakinya disalurkan kepada Penyelaras DUN Pas.