ATM pintas bot bawa PATI Rohingya

Bot yang membawa 200 PATI Rohingya yang cuba menceroboh perairan negara di kedudukan 60 batu nautika barat Pulau Langkawi semalam. - Foto Ihsan ATM
Bot yang membawa 200 PATI Rohingya yang cuba menceroboh perairan negara di kedudukan 60 batu nautika barat Pulau Langkawi semalam. - Foto Ihsan ATM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan sebuah bot yang membawa 200 pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya pada kedudukan 60 batu nautika barat Pulau Langkawi semalam.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, kelibat bot berkenaan dikesan melalui pengawasan udara menggunakan pesawat C-130H sebelum menggerakkan dua buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke lokasi berkenaan.

“Sebuah helikopter turut dihantar bagi mendapatkan gambaran jelas penumpang bot sebelum dua kapal berkenaan memintas dan mengiringi bot keluar dari perairan negara.

“Kesemua mereka terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

KD Lekiu dan KD Lekir berjaya memintas bot membawa PATI Rohingya dari memasuki sempada negara. - Foto Ihsan ATM
KD Lekiu dan KD Lekir berjaya memintas bot membawa PATI Rohingya dari memasuki sempada negara. - Foto Ihsan ATM

Affendi berkata, kejayaan operasi pengawasan maritim udara adalah usaha bersepadu di antara TLDM, TUDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Operasi kawalan keseluruhan persempadanan negara akan diperketatkan termasuk bekerjasama dengan agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain.

"Turut dilakukan ialah kawalan persempadanan daratan Malaysia - Kalimantan di Sarawak antaranya di Teluk Melano hingga ke Lubuk Antu dan persempadanan Limbang (Malaysia - Brunei), Ba'kelalan dan Bario yang kini turut diperketatkan dengan rondaan dan sekatan jalan raya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kawalan persempadanan daratan tersebut juga melibatkan kerjasama padu antara ATM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.