X

Kindly register in order to view this article
!

Terengganu harap pemotongan hutang kepada kerajaan dipertimbang

Ahmad Samsuri
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu berharap pemotongan 25 peratus hutang kerajaan negeri menerusi royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) dipertimbangkan semula oleh kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan yang lebih khusus kepada keperluan rakyat negeri ini terutama ketika menghadapi kesan penularan pandemik Covid-19.

“Saya telah pun membuat permohonan kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya dibuat pertimbangan (pemotongan) wang royalti ini kerana banyak agenda yang akan tergendala ditambah pula dengan suasana Covid-19 ini yang memerlukan perhatian khusus terhadap keperluan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Terengganu Lening’ di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, semalam.

Ahmad Samsuri berkata, sejak Mei 2018 kerajaan negeri yang menerima lima peratus WTP dari kerajaan Persekutuan telah membayar hutang berjumlah kira-kira RM400 juta, melalui pemotongan WTP yang diterima dua kali setahun.

“Ini menyebabkan kita (Terengganu) hanya tinggal dalam RM300 juta lebih lagi hutang kepada Kerajaan Persekutuan dan sekiranya dibuat pembayaran dalam masa setahun dua atau dua tiga tahun ini, Terengganu akan muncul sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak ada hutang langsung kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Samsuri mengakui pihaknya menjangkakan akan menerima WTP dengan pengurangan jumlah yang agak ketara berbanding sebelum ini, berikutan penurunan harga minyak dunia.

“Kami harapkan suku ketiga tahun ini (harga minyak) akan lebih positif jadi kalau itu boleh berlaku dengan terimaan WTP (yang lebih tinggi) kami mampu lakukan sesuatu untuk Terengganu,” katanya.

Tahun lepas, kerajaan negeri menerima RM1.277 bilion WTP dari kerajaan Persekutuan yang dibayar secara berperingkat mulai Januari hingga September. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!