‘Saya mampu cipta kandungan digital’

BACHOK – Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, murid bukan lagi sekadar perlu tahu menggunakan teknologi, sebaliknya perlu berani mencipta kandungan, menghasilkan karya dan menyampaikan idea sendiri.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Kelantan (JPNK), Mohd Suki Harun berkata, pendekatan itu antara perkara yang mahu diterapkan menerusi Festival Filem Kelantan 2026 atau Festival Lensa Pendidikan Kelantan (FLeP’26).
Menurutnya, festival berkenaan menjadi platform untuk mencungkil bakat dan kreativiti murid menerusi penghasilan filem, video kreatif serta podcast selain membina kemahiran komunikasi serta pemikiran kreatif.
“Melalui proses menghasilkan filem dan video, murid belajar merancang, mencari idea, menulis skrip, membuat rakaman, menyunting, menyelesaikan masalah dan mempersembahkan hasil karya mereka.
“Kami mahu melahirkan generasi yang mampu berkata, ‘saya bukan sekadar menonton, saya mampu mencipta’,” katanya ketika merasmikan Anugerah Festival Filem Kelantan FLeP’26 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber & Teknologi Pendidikan JPNK, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan (FTKW) UMK, Profesor Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid.
FLeP’26 yang mendapat kerjasama FTKW UMK itu merupakan platform mengetengahkan usaha mengiktiraf kreativiti warga pendidikan dan murid menghasilkan kandungan media pendidikan yang berkualiti dan memberi impak positif.
Mohd Suki berkata, pengalaman menghasilkan kandungan secara langsung memberi ruang kepada murid untuk belajar di luar bilik darjah selain membina keyakinan diri apabila karya mereka dipersembahkan kepada khalayak.
Katanya, festival yang berlangsung dari 15 Mac hingga 20 Ogos itu turut memperkasa literasi media dan teknologi dalam kalangan murid supaya mereka bukan sahaja mahir menggunakan teknologi tetapi mampu memanfaatkannya secara bertanggungjawab.
“Kandungan digital kreatif yang dihasilkan mestilah berkualiti, beretika serta mempunyai nilai pendidikan, nilai murni dan mesej positif.
“Bakat murid dan potensi kerjaya dalam bidang perfileman, media digital, penyiaran, penerbitan, animasi serta industri kreatif dapat dikenal pasti,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Panel Juri, Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, sebanyak 218 penyertaan diterima dengan 85 peratus dari Kelantan selain penyertaan dari Thailand dan Indonesia.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan FTKW UMK berkata, empat kategori dipertandingkan iaitu Video Televisyen Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) yang mencatatkan penyertaan tertinggi sebanyak 79, diikuti Video Podcast (48), Video Kreatif TV PSS (38) dan Filem Pendek (22).
“Peserta menunjukkan keberanian meneroka idea, mengetengahkan mesej yang dekat dengan masyarakat selain semakin yakin dalam penyampaian, penggunaan teknologi dan kerja berpasukan.
Bagaimanapun, masih ada ruang penambahbaikan khususnya dalam aspek teknikal dan kualiti karya, dengan kategori Filem Pendek memerlukan perhatian dari segi jalan cerita, audio serta bahasa visual,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat bantu dalam penghasilan karya dan bukan menggantikan peranan manusia.
“Kamera boleh merakam gambar tetapi manusialah yang memberikan makna,” katanya.
Sekolah luar bandar bolot tujuh anugerah festival filem digital
BACHOK - Keterbatasan lokasi dan kedudukan sekolah di luar bandar tidak penghalang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 untuk menyerlah dalam dunia digital apabila membolot tujuh anugerah dalam Festival Filem Kelantan atau Festival Lensa Pendidikan Kelantan (FLeP’26).
Sekolah berkenaan meraih Anugerah Emas kategori Podcast Sekolah Rendah selain tiga Anugerah Khas Podcast Sekolah Rendah menerusi Nur Hannah Insyirah Mohd Aiddy Suffian yang dinobatkan sebagai Host Terbaik, Muhammad Nasrullah Muhammad Syafiq (Pengarah Terbaik) dan Nur Jannatul Arina Ahmad Sufian (Naratif Terbaik).
SK Jeli 1 turut meraih Anugerah Perak kategori Video TV PSS Sekolah Rendah selain dua Anugerah Khas menerusi Nur Jannatul Arina Ahmad Sufian yang memenangi Sinematografi Terbaik dan Muhammad Nasrullah Muhammad Syafiq (Suntingan Terbaik).

Nur Hannah Insyirah, 12, yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, pencapaian itu membuktikan kedudukan sekolah di Jeli bukan alasan untuk murid membataskan impian sebaliknya teknologi membuka ruang untuk mereka bersaing dengan sekolah di mana-mana sahaja.
Menurutnya, keberanian mencuba dan membina keyakinan diri terutama ketika berhadapan kamera menjadi antara perkara penting untuk menguasai bidang kandungan digital.
“Apabila membuat rakaman, perlu bercakap dengan yakin di depan kamera dan tidak mudah gagap.
“Walaupun kita belajar di mana-mana, bukanlah penyebab kita tidak mampu mencapai kejayaan seperti ini, yang penting perlu mencuba dan berani,” katanya kepada Sinar Harian.
Nur Hannah turut menekankan kepentingan menjaga adab ketika menggunakan media sosial, termasuk ketika berkomunikasi dan memberikan komen, supaya teknologi digunakan secara bertanggungjawab.
Sementara itu, guru pembimbing dan Penyelaras TVPSS SK Jeli 1, Syafiq Zulkiflee berkata, bakat anak muridnya dikesan awal untuk diasah dan berhasil memberikan kemenangan itu.
“Saya sudah tiga tahun mengendalikan TVPSS dan ini kali pertama bawa sekolah menang dalam bidang digital.
“Saya lihat bakat murid saya memang semula jadi kerana dia petah bercakap serta tidak kekok berhadapan khalayak,” katanya.
Syafiq berkata, kejayaan berkenaan juga membawa mesej lebih besar bahawa murid dari Jeli tidak ketinggalan berbanding sekolah di bandar malah mampu menghasilkan kandungan digital yang mampu bersaing di peringkat lebih luas.
“Memang matlamat kami adalah untuk menjadi lebih baik, menyerlah dan membuktikan sekolah dari Jeli tidak ketinggalan berbanding sekolah-sekolah di bandar,” katanya.
FLeP’26 yang berlangsung dari 15 Mac hingga 20 Ogos iti menjadi platform untuk mengetengahkan kreativiti warga pendidikan khususnya murid dalam bidang perfileman, video kreatif dan podcast, selain memperkukuh literasi media, kemahiran komunikasi dan pemikiran kreatif.
Dalam kategori Podcast Sekolah Rendah, SK Bandar Baharu, Terengganu meraih Perak manakala SK Merbau, Kelantan memperoleh Gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

