Pacu litar bina industri

Ali Imran (kiri) sempena pengenalan FNF Motorsport di Sepang.
Ali Imran (kiri) sempena pengenalan FNF Motorsport di Sepang.
A
A
A

FNF Motorsports tidak mahu sekadar menghidupkan enjin, turun ke litar dan mengejar keputusan perlumbaan dalam sukan permotoran.

Sebaliknya, pengasasnya, Ali Imran Che Ahmad Shakri menyasarkan pembinaan ekosistem yang lebih luas merangkumi pelancongan sukan, industri automotif, pembangunan bakat dan penganjuran pertandingan sendiri.

Menurutnya, penubuhan pasukan itu dalam tempoh hanya tujuh hari bukan pengakhiran, sebaliknya titik mula kepada visi lebih besar untuk membina jenama dan perniagaan berteraskan sukan permotoran.

Katanya, FNF akan meneroka peluang dalam industri automotif termasuk Approved Permit (AP), penajaan, kolaborasi strategik serta kerjasama dengan pemain industri.

“Dalam perniagaan, kadangkala kita tidak boleh menunggu segala-galanya sempurna. Kita perlu berani bermula.

“FNF Motorsports dibina dalam tujuh hari, tetapi apa yang kami mahu bina selepas itu adalah sesuatu yang jauh lebih besar dan berjangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Bagi Ali Imran, sukan permotoran bukan sekadar soal jentera, kelajuan dan persaingan di litar, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai sebahagian daripada agenda pelancongan sukan negara.

Menurutnya, perlumbaan boleh menjadi pencetus kepada aktiviti lebih luas apabila peminat, peserta, penaja dan pelancong hadir ke sesuatu lokasi, sekali gus merancakkan sektor hospitaliti, makanan, hiburan, gaya hidup, kandungan digital dan komuniti setempat.

“Apabila kita bercakap tentang sport tourism, kita bukan bercakap tentang perlumbaan sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Kita bercakap tentang orang datang ke sesuatu lokasi, tinggal di hotel, makan, membeli-belah, menikmati hiburan dan membawa pulang satu pengalaman.

“Itulah ekosistem gaya hidup yang kami mahu bina menerusi FNF,” katanya.

Lebih daripada itu, FNF tidak mahu selamanya menjadi pasukan yang hanya menyertai perlumbaan, sebaliknya menyasarkan penganjuran serta pemilikan platform pertandingan sukan permotoran sendiri pada masa depan.

Ali Imran berkata, platform berkenaan berpotensi menjadi medan mencungkil bakat baharu, membina komuniti peminat, menarik penaja selain membuka peluang komersial kepada rakan strategik dan pemain industri.

Dalam usaha memastikan ekosistem itu tidak terhenti di litar, FNF turut merancang menubuhkan Akademi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memberi tumpuan kepada kemahiran automotif serta sukan permotoran.

Akademi berkenaan berpotensi menyediakan latihan praktikal dan pendedahan industri dalam bidang mekanik, kejuruteraan automotif sukan permotoran, pengurusan pasukan serta bidang sokongan berkaitan.

“Kalau kita mahu membina industri motorsports yang sebenar, kita tidak boleh hanya membina kereta dan pasukan. Kita perlu membina manusia.

“Sebab itu TVET adalah sebahagian daripada visi kami. Kami mahu memberi peluang kepada anak muda untuk melihat motorsports sebagai industri dan kerjaya, bukan hanya sebagai hobi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!