Mak ayah janganlah mengamuk!

Seorang kanak-kanak menggunakan panggilan video untuk berinteraksi dengan guru dan rakannya bagi mengikuti pembelajaran ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Bernama
Seorang kanak-kanak menggunakan panggilan video untuk berinteraksi dengan guru dan rakannya bagi mengikuti pembelajaran ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Bernama
A
A
A

BARU hendak melabuhkan punggung selepas selesai tugasan pejabat atau melakukan rutin harian di rumah, bertubi-tubi masuk mesej di grup WhatsApp sekolah.

Situasi ini mungkin dihadapi kebanyakan ibu bapa sejak sekolah terpaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Masa inilah ibu bapa yang tidak biasa, terkial-kial membantu anak-anak 'log in' ke Google Classrrom dan pelbagai platform pembelajaran maya lain.

Para guru tidak jemu beri kerja sekolah demi memastikan anak-anak kita tidak ketinggalan walaupun pada hakikatnya Pembelajaran dan Pengajaran PdP di rumah adalah satu cabaran kerana kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sekitar 36.9 peratus daripada hampir 900,000 murid tiada sebarang peranti dan akses kepada internet di rumah.

Bagaimanapun, usaha guru-guru ini mungkin tidak disenangi segelintir ibu bapa yang berasakan tanggungjawab mendidik anak-anak kini terpikul di bahu mereka.

Apapun, kesungguhan dan komitmen guru-guru ini wajar dipuji. Walaupun turut gundah gulana dek penularan Covid-19, tanggungjawab terhadap muridnya tidak dilupakan.

Jika sebelum ini tugas mengajar itu diserahkan sepenuhnya kepada sekolah, tetapi di dalam situasi getir ini, ibu bapa lah yang perlu menjadi 'cikgu'.

Namun, komitmen itu menuntut kesabaran yang tinggi. Faham-faham saja lah, penerimaan anak-anak ini tidak sama.

Artikel Berkaitan:

Ada yang segera patuh, tetapi ada juga liat untuk menyiapkan kerja sekolah jika yang menyuruhnya itu ibu bapa sendiri.

Begitu juga ibu bapa. Ada yang berjiwa kental dan ada sebaliknya, mungkin akibat tekanan gara-gara Covid-19.

Tempoh PKP membuatkan segelintir daripada kita tidak dapat bekerja dan hilang sumber pendapatan, malah ada yang terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga kerana bertugas di barisan hadapan untuk memerangi wabak.

Baru-baru ini mesej audio bapa seorang kanak-kanak yang tidak berpuas hati dengan kerja sekolah terlampau banyak diberikan guru anaknya, tular di media sosial.

Tidak diketahui dan difahami punca sebenar ledakan emosi itu, namun dalam tempoh memerangi pandemik yang mengganas, kita semua perlu bersatu hati.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Medical Relief Society (MERCY Malaysia) menyediakan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat Malaysia.

Semua petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi akibat Covid-19 boleh menghubungi talian 011-63996482, 011-63994236 dan 03-29359935 yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, sokongan emosi ketika PKP dan maklumat lanjut mengenai Covid-19 menjadi dua pertanyaan popular talian Psikososial Covid-19.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut mewujudkan Talian Khas Kaunseling Covid-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada orang ramai yang terkesan dengan penularan wabak itu dan PKP.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan telekaunseling diwujudkan melalui Talian Kasih 15999 dan WhatsApp Talian Kasih 019-2615999.

Pemanggil yang memerlukan perkhidmatan telekaunseling akan dipanjangkan kepada pegawai kaunselor berdekatan bagi membincangkan masalah yang dihadapi.

Kata Rina, beliau mahu memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa di tahap yang stabil.

Berbalik kepada soal pelajaran anak-anak, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika sidang medianya Rabu lalu mengumumkan bahawa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dibatalkan.

Bagaimanapun katanya, pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid, sama juga PT3.

Katanya, memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

Sesi persekolahan hanya akan dibuka selepas KPM yakin keadaan benar-benar pulih dan dalam apa jua keadaan, akses murid kepada PdP tetap diberikan keutamaan.

Tidak mengapa. Belajar di rumah dan peperiksaan batal tidak akan menjadikan anak-anak kita kurang cerdik kerana keselamatan mereka lah yang paling utama.

Seperti kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat perlu membiasakan diri dengan normal atau kebiasaan kehidupan baharu.

Katanya, apa yang biasa dibuat dahulu, tidak boleh dilakukan lagi bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Kerajaan begitu prihatin akan kegusaran rakyat, justeru ibu bapa jangan lah stres dan mengamuk.

Kita 'berkurung' kerana kebaikan, jadi kekal positif dan Malaysia jangan putus asa!

* Asmaliza Mansor ialah Koordinator Advertorial Sinar Harian