Belum ada ketetapan solat Aidilfitri di Selangor

Pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di Selangor bergantung kepada situasi dan perkembangan semasa.
Pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di Selangor bergantung kepada situasi dan perkembangan semasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan belum membuat sebarang ketetapan berhubung pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di Selangor tahun ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan berhubung perkara tersebut akan dimaklumkan kemudian oleh pihaknya bergantung kepada situasi dan perkembangan semasa.

Beliau sebelum itu berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengeluarkan Garis Panduan Khas Tatacara Kutipan Zakat Fitrah Negeri Selangor Tahun 2020 dalam tempoh terdekat.

“Pembayaran zakat merupakan kewajipan syarak yang perlu ditunaikan umat Islam. Bagi memastikan urusan kutipan zakat fitrah tidak menjejaskan hasrat kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19, satu garis panduan akan dikeluarkan LZS.

“Ia akan menjadi panduan dan rujukan semua Ketua Penolong Amil Fitrah (KPAF), Penolong Amil Fitrah (PAF) dan pembayar zakat fitrah supaya mematuhi arahan kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pegawai dan jawatankuasa masjid hendaklah memaklumkan kepada ahli jemaah masing-masing melalui kaedah yang difikirkan sesuai bahawa aktiviti gotong-royong membersihkan tanah perkuburan biasanya dilaksanakan menjelang Ramadan adalah tidak dibenarkan.

Mohd Shahzihan Ahmad
Mohd Shahzihan Ahmad

Katanya, aktiviti menziarahi tanah perkuburan sempena Ramadan hendaklah dielakkan dan diganti dengan amalan membaca Surah Yasin, tahlil dan doa kepada arwah dari rumah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Pegawai masjid bolehlah dengan kaedah yang difikirkan sesuai menetapkan majlis bacaan yasin, tahlil dan doa arwah di masjid dengan syarat pelaksanaannya dibuat dengan mengekalkan penglibatan tiga orang pegawai masjid yang bertugas sahaja.

“Namun ia tertakluk jika ada keperluan, kewajaran atau permintaan daripada waris dan ahli kariah,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata, program nyah kuman (sanitasi) di masjid negeri, masjid daerah dan masjid diraja hendaklah ditangguhkan pelaksanaannya sehingga mendapat arahan lanjut daripada pihak JAIS.

Bagaimanapun katanya, sekiranya masjid berkenaan mempunyai rekod positif Covid-19 atau terlibat dengan laluan pergerakan mangsa positif Covid-19, maka program nyah kuman hendaklah dilakukan dengan berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

“Semua masjid juga tidak dibenarkan menjalankan sebarang kerja-kerja baik pulih dan penyenggaraan bangunan atau kelengkapan masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, jika wujud keperluan mendesak bagi menyegerakan kerja baik pulih dan penyenggaraan serta mengelakkan kerosakan lebih besar, maka satu surat permohonan khas hendaklah dikemukakan kepada Pengarah JAIS melalui Pegawai Tadbir Agama Daerah dengan melampirkan maklumat lengkap syarikat dilantik dan tiga nama pekerja yang akan menjalankan kerja berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, surat kelulusan daripada Pengarah JAIS akan dikeluarkan kepada pihak masjid bagi membantu memudahkan pergerakan syarikat dan pekerja berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, JAIS mengharapkan kerjasama semua pihak dalam melaksanakan ketetapan tersebut.

“Penguatkuasaan undang-undang yang dipertingkatkan akan diteruskan dan dilaksanakan dengan lebih tegas pada peringkat ini bagi memastikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak dihina, tidak diingkari dan tidak dipertikaikan seperti ditetapkan menurut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995.

“Sesungguhnya ketetapan ini adalah satu ikhtiar yang ditentukan berdasarkan hukum dan waqi. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya lagi.