X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

11 termasuk enam wanita dicekup pesta lalok

Antara 11 individu yang diberkas selepas disyaki berpesta liar di dalam apartmen di Johor Bahru, Johor awal pagi hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan 11 individu termasuk enam wanita menyewa dua buah apartmen untuk melepaskan gian bagi menghisap dadah membawa padah apabila mereka dicekup dalam dua serbuan berasingan di daerah ini awal pagi hari ini.

Dalam serbuan bermula pada jam 12.15 pagi itu, mereka yang diberkas terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita tempatan masing-masing berusia antara 17 hingga 28 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan awal mendapat mereka bukan penghuni apartmen selain gagal mengemukakan alasan munasabah terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Siasatan pihak kita mendapati kesemua suspek bukan penghuni apartmen dan mereka datang daripada luar selain dipercayai menyewa untuk berpesta liar ketika PKP.

"Dalam serbuan itu, tujuh daripada mereka ditahan kerana memiliki dadah dan kita merampas dadah disyaki jenis ketamin seberat 20.40 gram," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati lima lelaki dan lima wanita positif dadah jenis sama serta methamphetamine.

Menurut beliau, semakan terhadap rekod jenayah lampau mendapati dua lelaki dan tiga wanita memiliki rekod berkaitan penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, kesemua suspek kini direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Perintah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Hasil serbuan dan tangkapan ini menunjukkan sebilangan masyarakat masih berdegil, pentingkan diri sendiri dan sengaja melanggar PKP yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!