Petani disaran sertai Program Ladang Kontrak

Sabri (kiri) mendengar taklimat ringkas daripada Isa (tengah) sebelum meninjau operasi PTK Guar Chempedak.
Sabri (kiri) mendengar taklimat ringkas daripada Isa (tengah) sebelum meninjau operasi PTK Guar Chempedak.
A
A
A

YAN - Petani yang menghadapi kesukaran memasarkan hasil tani disaran mendaftar di bawah Program Ladang Kontrak bagi mengelak berlakunya lambakan sayur-sayuran khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata, usahawan tani dapat menjual hasil pertanian mereka secara terus kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui konsep Ladang Kontrak sekali gus memastikan bekalan hasil tani mencukupi untuk pengguna.

Menurutnya, kewujudan Pasar Segar Terkawal (PTK) juga dapat menyelesaikan masalah lambakan sayur daripada terus berlaku.

“Petani yang belum mendaftarkan diri bawah Program Ladang Kontrak diharap segera berbuat demikian kerana menguntungkan petani dalam jangka panjang.

"Pengurusan Pasar Segar Terkawal, contohnya PTK Guar Chempedak berjaya menyelesaikan lambakan sayur kerana difahamkan lebih 36 petani di daerah Yan mendaftar sebagai peserta ladang kontrak,” katanya selepas meninjau operasi PTK Guar Chempedak yang mempunyai 91 lot niaga dengan 55 peniaga di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Fama Kedah, Isa Hamzah.

Sabri berkata, antara manfaat menyertai program terbabit adalah petani mendapat jaminan pasaran atas produk yang dikeluarkan, selain menjana dan menambah pendapatan.

“Petani juga diberikan bantuan khidmat nasihat teknikal dan pengurusan ladang lebih baik dan sistematik daripada agensi dan jabatan, berpeluang hadiri kursus dan latihan dalam meningkatkan motivasi serta pengetahuan dalam bidang pertanian serta pelbagai faedah lain,” katanya.

Menurutnya, semasa tempoh PKP, FAMA Kedah menyediakan enam outlet untuk memasarkan hasil pertanian melibatkan Pasar Segar Terkawal iaitu PTK Guar Chempedak, PTK Kuala Kedah, PTK Changlun, PTK Kulim, Pusat Operasi Fama Alor Setar serta Pusat Operasi Fama Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

“Petani tanam, tuai dan jual kepada FAMA, namun petani perlu mematuhi syarat-syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Sabri berkata, FAMA telah banyak membantu mengatasi masalah dihadapi petani dan bercadang menganjurkan majlis dialog bersama agensi berkaitan Ladang Kontrak untuk memberi kefahaman kepada petani.

“Kita akan dedahkan kebaikan ladang kontrak, supaya penanaman sayur dan buah-buahan khususnya di Parlimen ini dapat maklumat tepat seterusnya mendaftar sebagai peserta kerana ia mempunyai sistem penjadualan tanaman sistematik bagi menstabilkan harga mengikut penawaran dan permintaan sesuatu produk,” katanya.

Sabri turut berpuas hati dengan langkah kawalan yang diambil oleh pengurusan Pasar Segar Terkawal sempena PKP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang melanda negara ketika ini.