JAIPk tarik sijil halal premis pemprosesan makanan hasil laut

Dokumen yang tular
Dokumen yang tular
A
A
A

BAGAN DATUK - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menarik semula sijil halal sebuah premis pemprosesan makanan berasaskan hasil laut di Hutan Melintang di sini, selepas gagal menepati Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIPk, Yusri Abdul Rani berkata, premis berkenaan telah diperiksa 14 November tahun lalu dan didapati terdapat beberapa perkara berbangkit membabitkan prosedur yang ditetapkan.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan gagal mengemukakan surat lantikan penyelia halal di samping pihak syarikat juga masih belum mewujudkan program sistem jaminan keselamatan makanan.

"Selain itu, pekerja di premis berkenaan juga didapati tidak mengamalkan etika berpakaian yang bersesuaian selain pelabelan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Yusri, premis pemprosesan makanan laut itu juga membuat produk makanan untuk persatuan nelayan di Pahang, dan kerana itu JAIPk turut menjalankan pemeriksaan di kilang itu.

"Sijil halal premis berkenaan ditarik berdasarkan keputusan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Perak dan berkuatkuasa pada 27 Disember lalu kerana gagal mematuhi piawai halal," katanya.

Katanya lagi, sijil halal yang dimiliki premis itu masih belum tamat tempoh yang dijadualkan sehingga Jun ini selepas ia diperbaharui pada Jun 2017.

Jelasnya, pada ketika itu,premis itu mempunyai lantikan penyelia dan mendakwa sistem jaminan keselamatan makanan masih dalam proses.

Artikel Berkaitan:

"Sepatutnya ia sudah diselesaikan dan notis telah dikeluarkan untuk mereka menyelesaikan perkara itu dalam tempoh sebulan sehingga 14 Disember lalu, namun tiada maklum balas diberikan.

"Justeru, Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Perak mengambil keputusan menarik semula sijil premis itu dan pembaharuan sijil oleh persatuan nelayan berkenaan juga gagal," katanya.

Bagaimanapun Yusri berkata, penarikan sijil halal berkenaan tidak menghalang premis pemprosesan makanan hasil laut seperti bebola dan kek ikan itu mengemukakan permohonan semula sijil halal mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

Terdahulu, tular di laman sosial dan aplikasi Whats App dokumen daripada JAIPk memaklumkan penarikan sijil halal sebuah syarikat pemprosesan makanan laut di Hutan Melintang, Bagan Datuk.