Gerhana matahari penuh memukau Sepanyol

MADRID – Siang bertukar seketika menjadi malam di Sepanyol pada Rabu apabila negara itu menyaksikan gerhana matahari penuh pertama dalam tempoh lebih satu abad dengan kegelapan luar biasa menyelubungi sebahagian negara itu.
Cahaya samar korona luar matahari yang berkilauan di sekeliling bayangan bulan mencetuskan sorakan dan rasa kagum orang ramai, hanya 90 minit selepas fenomena alam menakjubkan itu kelihatan di kawasan terpencil Artik di utara Rusia.
"Saya tidak pernah bayangkan dapat menyaksikan gerhana matahari penuh sepanjang hidup saya. Meremang bulu roma saya apabila melihatnya depan mata sendiri," kata Isabel Troyano, 56, di Tarragona.
Ia merupakan fenomena pertama seumpamanya di tanah besar Eropah sejak 2006. Ia bermula dengan melintasi sebahagian Greenland sebelum bayang-bayang bulan bergerak ke arah selatan, merentasi Keflavík di Iceland dan seterusnya Lautan Atlantik hingga ke utara Sepanyol.
Di Madrid, fasa gerhana matahari penuh dapat disaksikan selama kira-kira satu hingga dua minit bergantung pada lokasi manakala keseluruhan prosesnya berlangsung hampir dua jam.
Difahamkan, bekalan cermin mata khas untuk melihat gerhana mendapat permintaan tinggi kerana gerhana separa turut dapat dilihat di seluruh Eropah, Kanada, utara Amerika Syarikat (AS), dan barat laut Afrika. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

