Dua pengarah, pemilik syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu Insentif PERKESO

JOHOR BAHRU - Dua pengarah dan dua pemilik syarikat masing-masing yang merupakan pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis atas 15 pertuduhan berasingan berhubung tuntutan palsu Insentif Program Daya Kerjaya 2.0 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua tahun lalu.
Tertuduh, Toh Siew Ngo, 44, Lee Thiam Hee, 50, Tan Soon Loong, 37, dan Liew Kam Hin, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin dihadapan Hakim N Kanageswari.
Soon Long yang merupakan pengarah dua syarikat iaitu Lucky Durian Sdn. Bhd. dan U Spa berdepan sembilan pertuduhan manakala Kam Hin yang juga pengarah syarikat International Ecological Economy Business Academy Sdn. Bhd. berdepan empat pertuduhan.
Manakala pasangan suami isteri, Thiam Hee dan Siew Ngo yang merupakan pemilik syarikat Easyway Bus Enterprise masing-masing berdepan satu pertuduhan.
Soon Loong, Kam Hin dan Siew Ngo didakwa dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya dengan menyerahkan dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen PERKESO yang mengandungi pernyataan palsu.
Manakala Thiam Hee didakwa bersubahat dengan isterinya yang juga pemilik syarikat terbabit dengan memberi seorang ejen PERKESO dengan niat memperdayakan prinsipalnya Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi pernyataan palsu.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan keempat-empat tertuduh di Taman Sri Tebrau, Taman Daya dan Taman Setia Indah di dalam daerah Johor Bahru antara 4 April hingga 27 Ogos 2024.
Soon Long, Kam Hin dan Siew Ngo didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) manakala Thiam Hee didakwa mengikut Seksyen 28 (1)(c) akta yang sama.
Semua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Chan Lee Lee bersama Pegawai Pendakwa Alice Voon Mei Ling, Fazal Lisam Abidin dan Ameera D'Aneez Mohd. Shukari.
Semua tertuduh diwakili Zander Lim Wai Keong dan Dahlia Tan Pui San.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 bagi kesemua sembilan pertuduhan dihadapi Soon Long, Kam Hin dibenar ikat jamin RM12,000 dan pasangan suami isteri itu masing-masing dijamin RM10,000.
Tertuduh juga diperintahkan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 18 September ini bagi sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
