Dadah lebih RM18,000 dalam lokap, anggota polis antara ditahan

Mohd Alwi (kiri) menunjukkan rampasan dadah bernilai lebih RM18,000 dalam pemeriksaan yang dilakukan polis IPD Manjung di sebuah lokap Balai Polis Lumut, Selasa lalu.
Mohd Alwi (kiri) menunjukkan rampasan dadah bernilai lebih RM18,000 dalam pemeriksaan yang dilakukan polis IPD Manjung di sebuah lokap Balai Polis Lumut, Selasa lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang anggota polis berpangkat konstabel ditahan bagi membantu siasatan penemuan dadah bernilai lebih RM18,000 di lokap Balai Polis Lumut, Manjung, Selasa lalu.

Tangkapan terhadap anggota berusia 30-an itu dibuat susulan pemeriksaan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, hasil pemeriksaan tersebut, dua lelaki yang merupakan orang kena tuduh (OKT) telah ditahan bersama rampasan pelbagai jenis dadah.

"Rampasan melibatkan 16 bungkusan tiub plastik disyaki mengandungi methamphetamine seberat 109.54 gram, 16 bungkusan heroin (110.37 gram) serta 23 bungkusan daun kering disyaki cannabis seberat 142.31 gram.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM18,534,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Mohd Alwi berkata, hasil semakan mendapati, anggota yang bertugas di Balai Polis Lumut itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta didapati negatif dadah.

Kata beliau, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti bagaimana bahan terlarang itu boleh dibawa masuk ke dalam lokap.

“Siasatan akan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing terhadap dua OKT masing-masing berusia lingkungan 40 tahun mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari sehingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah termasuk sekiranya melibatkan mana-mana premis atau pihak dalam persekitaran kepolisan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!