Tertukar ketika bayi, dua wanita China bertemu semula selepas 37 tahun

BEIJING – Dua wanita di China tidak menyangka bahawa mereka sebenarnya tertukar ketika dilahirkan 37 tahun lalu.
Memetik South China Morning Post berdasarkan laporan China Newsweek, Huang Xiaoli dan Li Hui dilahirkan dengan jarak hanya 55 minit di Qingyuan People’s Hospital, Guangdong pada Oktober 1989.
Lebih mengejutkan, kedua-duanya membesar di kawasan yang sama dengan jarak kediaman hanya kira-kira empat kilometer, namun menjalani kehidupan berbeza tanpa mengetahui mereka adalah bayi yang tertukar selepas dilahirkan.
Ketika kejadian, jururawat sempat menunjukkan kedua-dua bayi kepada ibu masing-masing sebelum membawa mereka ke bilik bayi.
Namun, ketika itu wad bersalin hospital berkenaan belum menggunakan gelang pengenalan bayi dan identiti hanya dibezakan menerusi kad nama yang diletakkan dalam selimut masing-masing.
Huang membesar dalam keluarga yang lebih berada apabila ibu bapa angkatnya bekerja sebagai kakitangan kerajaan.
Sejak kecil, bapa angkat Huang pernah mempersoalkan hubungan biologi mereka selepas mendapati kumpulan darah Huang berbeza daripadanya selain merasakan anak itu tidak begitu menyerupainya.
Kecurigaan itu menyebabkan dia pernah menyangka isterinya berlaku curang, sebelum pasangan berkenaan akhirnya bercerai ketika Huang berusia lima tahun.
Huang kemudian dibesarkan oleh ibu angkatnya dan hubungan bersama bapa angkatnya juga tidak begitu rapat.
Dalam usaha memperbaiki hubungan tersebut, Huang menjalani ujian DNA pada 2022, namun keputusan ujian itu mendedahkan bahawa pasangan yang selama ini dianggap ibu bapanya sebenarnya bukan keluarga kandungnya.
Huang kemudian mendapatkan bantuan polis untuk mencari keluarga biologinya dan pada April 2025, pencarian itu menemui titik akhir apabila dia berjaya menemui keluarga kandungnya.
Pada masa sama, dia mengetahui Li Hui dipercayai merupakan bayi yang tertukar dengannya akibat kesilapan pengenalan di hospital berkenaan.
Berbeza dengan Huang, Li dibesarkan dalam keluarga yang mengusahakan kedai runcit kecil dan berdepan kesukaran kewangan sejak kecil.
Ketika Li masih di sekolah rendah, bapanya kehilangan wang simpanan keluarga akibat penipuan pelaburan menyebabkan ibu bapanya terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan.
Li kemudian berhenti sekolah menengah bagi membantu keluarga dengan bekerja sebagai pemandu pelancong, penyambut tetamu hotel dan jurujual.
Tekanan hidup serta tempoh bekerja panjang memberi kesan kepada kesihatannya sehingga dia mengalami masalah darah dan menjalani pembedahan membuang kelenjar tiroid.
Pertemuan pertama Huang dan Li berlaku di sebuah kafe, yang disifatkan kedua-duanya sebagai pengalaman mendebarkan, gementar dan sedikit janggal.
Kedua-duanya memilih untuk terus menjalinkan hubungan dengan keluarga yang membesarkan mereka.
Li berkata, ibu angkatnya tidak mempunyai pencen dan masih bergantung kepadanya, manakala ibu angkat Huang pula tidak mahu mengganggu kehidupan keluarga lain.
Kedua-dua wanita itu kemudian meminta salinan sijil kelahiran daripada pihak hospital, namun dimaklumkan rekod berkenaan tidak dapat ditemui.
Mereka turut diberitahu sebahagian kakitangan yang terlibat dalam kejadian itu sudah bersara, manakala sebahagian lagi telah meninggal dunia.
Kini, Huang dan Li menuntut pampasan berjumlah 2.6 juta yuan (kira-kira RM6.8 juta) daripada pihak hospital, dengan prosiding kes dijadualkan berlangsung pada 13 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

