Tembak bekas isteri depan anak kerana enggan rujuk

LAMPUNG – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menembak mati bekas isterinya di depan anak mereka gara-gara berang mangsa menolak ajakannya untuk kembali rujuk.
Suspek, Abu Rohman, 35, ditahan di tempat persembunyiannya di Ogan Komering Ilir, Sumatera Selatan pada Selasa.
Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Yanti, 36, ditembak ketika berjalan pulang di Desa Wiralaga I, Mesuji pada Isnin.
Suspek didakwa mengekorinya sebelum mendekati mangsa dan menekapkan senjata api buatan sendiri pada paha kirinya lalu melepaskan tembakan yang menembusi paha kanan.
Kejadian itu disaksikan anak mangsa berusia 16 tahun yang kemudian berlari mendapatkan dan memeluk ibunya selepas suspek melarikan diri.
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis berkata, suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut dan mendakwa senjata berkenaan dibuat sendiri untuk perlindungan diri.
Abu yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau kini berdepan pertuduhan pembunuhan terancang yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

