Khaled Nordin cadang calon peperiksaan dibenar ke sekolah

Surat terbuka Khaled Nordin
Surat terbuka Khaled Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan calon yang akan mengambil peperiksaan pada tahun ini ke sekolah atau menjalani peperiksaan secara online.

Beliau berkata, KPM sepatutnya mempunyai strategi lebih komprehensif dengan mempunyai penyelesaian kreatif sebelum membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020.

"Kita harus menerima hakikat bahawa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menjadi kelaziman, pembelajaran, pentaksiran dan penilaian juga sangat penting dalam sesuatu sistem pendidikan.

"Cuma waktu ini kita perlu melaksanakannya dalam keadaan yang berbeza tanpa membatalkannya.

"Di negara yang lebih parah kes Covid-19 seperti Jerman, mereka telah membuat keputusan untuk meneruskan pembukaan sekolah pada 4 Mei secara perlahan dengan keutamaan kepada kohort yang akan menduduki peperiksaan.

"Ini juga berlaku di Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan beberapa negara lain.

"Mungkin wajar untuk dipertimbangkan agar semua kohort yang menduduki peperiksaan diutamakan sama ada dengan membenarkan mereka pergi ke sekolah atau disediakan menghadapi peperiksaan secara online," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu surat terbuka yang disiarkan di laman Facebooknya di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - UPSR, PT3 tahun ini dibatalkan

Artikel Berkaitan:

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan keputusan untuk membatalkan peperiksaan tersebut yang turut melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Mohd Radzi menjelaskan, pembatalan peperiksaan itu tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

Sementara itu, Mohamed Khalid berkata, kementerian juga mempunyai satu penyelesaian untuk menyediakan peranti untuk pembelajaran dalam talian kerana hampir 40 peratus pelajar tidak mempunyai peralatan tersebut.

"Maka kerana itu, kita mesti ada penyelesaian untuk menyediakan peranti ini dengan keutamaan mesti diberikan kepada kohort yang menduduki peperiksaan," ujar beliau.

Beliau turut mencadangkan supaya kawasan pengalaman kebanyakannya diklasifikasikan sebagai zon hijau untuk menduduki peperiksaan seperti yang dijadualkan.

"Sementara mereka yang dalam kawasan merah atau sekitarnya, dibenarkan menangguh dan disediakan peperiksaan umum fasa kedua," ujar beliau.

Mohamed Nordin berkata, dalam waktu yang sangat luar biasa, penyelesaian yang dilakukan tidak harus sama sekali mengambil pendekatan yang sama bagi semua pelajar.

"Justeru, mungkin dengan pelan kebersihan dan penjarakan fizikal yang komprehensif, mereka yang berada dalam zon hijau mesti boleh mengikuti pembelajaran dengan produktif," katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa pendidikan tidak boleh terhenti walau dalam keadaan apa sekalipun kerana Ia adalah sumber utama kepada ketahanan rakyat sebagai sebuah bangsa dan negara.

"Begitu juga dengan sistem pengajian tinggi kita. Apa jua penangguhan kemasukan dan pembelajaran adalah ‘counter-productive’ kerana semuanya boleh dilakukan secara dalam talian.

"Universiti luar yang mempunyai kampus di Malaysia serta IPTS telah beralih kepada pendaftaran pelajar baharu secara dalam talian dan mereka memulakan pengajian juga secara dalam talian kepada pelajar baharu dengan garis panduan yang kemas dan teratur," ujarnya.