Lori sampah terbabas hempap tiga kereta

KUALA LUMPUR - Sebuah lori sampah dipercayai mengalami kegagalan sistem brek sebelum terbabas dan menghempap tiga kereta yang diparkir di kawasan kondominium Pantai Hillpark di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi itu, lori berkenaan sedang bergerak di jalan lurus menuruni bukit di Jalan Pantai Murni 1 sebelum pemandunya dipercayai hilang kawalan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lori berkenaan kemudian melanggar tembok pagar kondominium sebelum bahagian hadapannya terjatuh dan menghempap tiga kenderaan yang diparkir tanpa pemandu.
"Pemandu lori yang juga seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun tidak berada di lokasi kejadian ketika polis tiba.
"Usaha mengesan pemandu berkenaan dijalankan dan lelaki itu berjaya dikesan ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu itu mengalami kecederaan pada kaki kiri.
"Ketika kejadian terdapat dua pekerja lelaki warga Bangladesh berusia sekitar 25 tahun yang sedang menjalankan kerja mengutip sampah di kawasan berkenaan.
"Bagaimanapun, kedua-dua pekerja terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan kerana berada di atas jalan ketika kejadian," katanya.
Beliau berkata, pemandu terbabit kemudian hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 3.15 petang bagi membuat laporan polis berhubung kejadian.
"Hasil ujian hembusan nafas mendapati keputusan adalah negatif alkohol.
"Lori terbabit akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi menjalani pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
