Siapa sebenarnya lari daripada isu Tabung Haji?

Jika kerajaan benar-benar mahu ketelusan sepenuhnya, bawalah satu usul substantif, benarkan Parlimen membuat ketetapan ke atasnya. Gambar kecil: Dr Mukhtaruddin
Jika kerajaan benar-benar mahu ketelusan sepenuhnya, bawalah satu usul substantif, benarkan Parlimen membuat ketetapan ke atasnya. Gambar kecil: Dr Mukhtaruddin
A
A
A

PERSEPSI yang cuba dibuat oleh kerajaan bahawa Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) lari meninggalkan Sidang Khas Dewan Rakyat yang membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji tidak menjawab persoalan yang sebenar.

Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah walkout semalam adalah satu protes terhadap bentuk dan tahap akauntabiliti sidang, bukannya keengganan atau ketakutan membahaskan isu Tabung Haji apabila diberi peluang.

Cadangan supaya sidang khas diadakan secepat mungkin datang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada 29 Julai beliau berkata tujuannya adalah supaya ahli Parlimen mempunyai masa meneliti laporan, mendengar penjelasan lanjut dan membahaskannya secara terbuka.

Ketika ahli Parlimen PN bersedia untuk berbahas dengan serius, kerajaan menunjukkan ketidak seriusannya dengan menukarkan mekanisme semalam hanya berbentuk penerangan menteri tanpa usul substantif, ketetapan atau pengundian. Maka bantahan ahli Parlimen PN ini mempunyai asas yang kuat memprotes sidang semalam.

RCI bukan laporan biasa. Ia ialah hasil suruhanjaya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong pada 20 Januari 2022 manakala laporan yang diterbitkan meliputi pengurusan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Jika kerajaan sendiri menggunakan istilah 'sidang khas', persoalan pembangkang ialah apakah hasil institusinya? Adakah Dewan sekadar mendengar penerangan atau diberi peluang membuat suatu keputusan politik dan institusi terhadap dapatan serta syor RCI?

Kedua, terdapat isu akauntabiliti perdana menteri sendiri. Anwar adalah pihak yang paling lantang mendesak laporan didedahkan dan mencadangkan sidang khas.

Malah dalam beberapa ucapan sebelum laporan diterbitkan beliau mengaitkan masalah Tabung Haji dengan soal penyelewengan, kerugian dan menggunakan istilah 'sakau' dalam membicarakan tatakelola institusi tersebut.

Oleh itu, dari sudut tanggungjawab politik, hujah pembangkang mempunyai merit yang kukuh. Apabila perdana menteri sendiri memanggil sidang, mengangkat isu tersebut kepada tahap nasional dan menggunakan bahasa tuduhan yang serius, adalah wajar beliau sendiri berdepan ahli Parlimen untuk menjelaskan asas kenyataannya dan menjawab persoalan yang timbul daripada laporan RCI.

Artikel Berkaitan:

Jika keadaan kesihatan menghalang beliau hadir, pilihan menangguhkan sidang sehingga beliau boleh hadir adalah cadangan yang amat munasabah.

Jangan jadikan walkout isu lebih besar darpada RCI

Masalah seterusnya ialah apabila episod walkout dijadikan isu utama oleh pihak kerajaan berbanding persoalan kewangan yang jauh lebih besar.

Pemimpin kerajaan berhak mengkritik tindakan Pas dan Wawasan. Media juga berhak melaporkannya. Tetapi jika perbahasan utama akhirnya diringkaskan kepada persoalan “mengapa pembangkang keluar?” ini mengabaikan soalan yang lebih penting seperti apakah sebenarnya berlaku kepada aset Tabung Haji, siapakah yang bertanggungjawab, sejauh mana proses pemulihan berjaya dan siapakah yang akhirnya menanggung risiko kewangan?

Di sinilah hujah-hujah substantif ahli Parlimen, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sepatutnya mendapat liputan dan perhatian.

Hassan secara langsung mempersoalkan kedudukan Sukuk Murabahah yang dipegang Tabung Haji dengan membangkitkan bahawa aset TH telah pun dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) tetapi pulangan tunai kepada TH tidak kelihatan berlaku secara tahunan.

Beliau bertanya: “YB Menteri, daripada penjelasan YB tentang sukuk, ini bermakna sukuk yang dipegang TH sebanyak RM27.5 bilion itu atas angin sahaja, maknanya tak ada pulangan tunai setiap tahun. Sampai bila nak tangguh-tangguh sedangkan harta TH telah dipindahkan ke UJSB? Tak adil.”

Jawapan menteri pula menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian. Pada peringkat awal, menteri menjelaskan struktur berkenaan sebagai 'zero-coupon bond', iaitu pulangan atau yield hanya dibayar apabila sukuk matang.

Namun begitu, dalam penjelasan berikutnya, menteri turut mengakui berlaku 'rollover' kepada sukuk ketiga yang hanya matang pada 2036, walaupun struktur baharu itu dikatakan akan diperbaiki dengan pembayaran yield tunai secara tahunan.

Lebih penting, menteri mengakui komitmen yield sekitar RM1.7 bilion sebelum ini tidak dibayar dengan alasan keutamaan fiskal kerajaan ketika pandemik Covid-19 pada 2020 hingga 2022 serta kewajipan membayar hutang 1MDB.

Apabila Pasir Gudang terus menekan dengan merujuk kebimbangan yang dinyatakan RCI pada halaman 128 mengenai kemampuan kerajaan menunaikan komitmen tersebut, jawapan menteri akhirnya lebih banyak bersandar kepada hujah bahawa kerajaan tidak pernah gagal membayar obligasi instrumen seperti MGS dan bil Perbendaharaan, sambil dua kali meminta supaya kerajaan tidak 'ditohmah'.

Keterangan ini tidak menjawab persoalan khusus mengenai struktur, aliran tunai dan pemulihan sebenar aset Tabung Haji.

Lebih mendasar, pengulangan bahawa kerajaan telah melaksanakan 'bailout' bernilai sekitar RM10.2 bilion juga tidak seharusnya menjadi noktah kepada perbahasan. Seperti dibangkitkan Pasir Gudang, persoalannya ialah berapa banyak daripada nilai itu benar-benar diterima oleh Tabung Haji dalam bentuk tunai dan berapa banyak yang hanya wujud sebagai instrumen kewangan jangka panjang.

Jika TH hanya menerima sebahagian kecil dalam bentuk tunai sementara sebahagian besar nilai pemulihan bergantung kepada sukuk yang terus digulung sehingga 2036, maka Parlimen berhak menuntut penjelasan yang jauh lebih terperinci.

Inilah isu yang sepatutnya menjadi tajuk utama, bukan soal siapa keluar Dewan, tetapi sama ada mekanisme penyelamatan UJSB benar-benar memulihkan kerugian TH, siapa menanggung risiko akhirnya dan sama ada pendeposit akan menerima semula nilai aset mereka dalam bentuk yang nyata, bukannya sekadar angka di atas kertas.

Ini menunjukkan isu tersebut sebenarnya melangkaui garis kerajaan-pembangkang. Soalnya bukan siapa paling kuat melaungkan 'sakau' tetapi apakah fakta kewangan dan tindakan undang-undang yang boleh dibuktikan.

UJSB sendiri menjelaskan mandat 10 tahunnya ialah memulihkan dan menstruktur semula aset yang dipindahkan pada 2018, memaksimumkan nilai pemulihan dan menebus Sukuk Murabahah kepada Tabung Haji sambil meminimumkan komitmen fiskal kerajaan.

Namun begitu, kedudukan kewangan UJSB sendiri menimbulkan banyak persoalan. Menurut laporan The Edge, pada akhir 2024 UJSB mempunyai kerugian terkumpul RM12.42 bilion, dengan aset RM11.44 bilion berbanding liabiliti RM23.86 bilion.

Lebih penting, sukuk RM12.5 bilion yang matang pada 29 Mei 2026 tidak diselesaikan sepenuhnya secara tunai. Penyelesaiannya melibatkan terbitan sukuk baharu sekitar RM11.5 bilion untuk tempoh 10 tahun, bersama pemindahan aset bernilai kira-kira RM965 juta.

Rekod rasmi FAST Bank Negara pula menunjukkan program Sukuk Murabahah baharu UJSB mempunyai had RM12.5 bilion, matang pada 29 Mei 2036 dan baki tertunggak melebihi RM11.5 bilion setakat 22 Julai.

Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar risiko kewangan tidak lenyap, tetapi hanya strukturnya berubah dan tempohnya dipanjangkan.

Justeru, mengatakan sukuk telah “diselesaikan” tanpa menerangkan sumber penyelesaian, hutang baharu, kos keuntungan, nilai aset yang dipindahkan dan pendedahan fiskal kerajaan adalah tidak bertanggungjawab.

Penelitian sepatutnya tidak berhenti pada siapa membuat keputusan sebelum 2018, tetapi turut bertanya apa yang berlaku kepada aset-aset itu selepas dipindahkan, berapa banyak yang berjaya dipulihkan dan berapa kos akhirnya kepada kerajaan serta Tabung Haji?

Atas sebab itu, terdapat asas kukuh untuk memperluaskan penelitian RCI kepada tempoh selepas pengambilalihan UJSB. Malah, ini bukan cadangan pembangkang semata-mata.

Justeru, adalah terlalu simplistik untuk mengatakan Pas dan Wawasan keluar kerana 'takut membahaskan Tabung Haji'. Kerajaan juga tidak seharusnya membiarkan kontroversi walkout menjadi pengalih perhatian daripada persoalan sebenar.

Jika kerajaan benar-benar mahu ketelusan sepenuhnya, bawalah satu usul substantif, benarkan Parlimen membuat ketetapan ke atasnya, pastikan perdana menteri sendiri menjawab apabila kesihatannya mengizinkan, laksanakan audit forensik yang disyorkan RCI dan perluaskan penelitian sehingga ke era UJSB.

* Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari dan pemerhati politik semasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!