Bersungguh mahu burukkan, bunuh imej saya dengan kaitkan isu Tabung Haji - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan terbabit dalam keputusan Tabung Haji (TH) memeterai perjanjian lanjutan pajakan hotel di Madinah dan Makkah dengan syarikat Al-Rawda ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 2017.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu menjelaskan, timbalan menteri tiada sebarang kuasa untuk terlibat dalam proses mahupun meluluskan sebarang perjalanan dan operasi, termasuk perjanjian melibatkan institusi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: RCI Tabung Haji: Ambil tindakan kalau ada 'sakau', UMNO tidak bela salah laku - Asyraf Wajdi

"Wah, bersungguh-sungguh nampaknya nak burukkan dan bunuh imej saya dengan cuba kaitkan saya dengan apa juga isu Tabung Haji.

"Untuk pengetahuan, saya diminta menjadi Ketua Jemaah Haji Malaysia pada tahun 2017 menggantikan menteri. Kebetulan saya ada di Makkah, maka dijemput mewakili menteri menghadiri majlis tersebut," katanya sebagai respons kepada satu gambar tular di Threads pada Khamis.

Gambar tersebut menunjukkan Asyraf Wajdi bersama Pengerusi TH ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa pihak lain hadir dalam majlis pemeteraian perjanjian lanjutan pajakan hotel di Madinah dan Makkah selama 10 tahun antara TH dengan syarikat Al-Rawda.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, urusan pentadbiran dan operasi merupakan bidang kuasa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengurusan TH, manakala Pengerusi dan Lembaga Pengarah menjadi semak dan imbang yang menentukan dasar serta meluluskan polisi utama sebelum menteri membuat keputusan akhir setelah mendapat syor.

Malah menurutnya, timbalan menteri tidak ada kuasa untuk terlibat langsung dalam operasi atau ketetapan dasar meskipun untuk menggantikan menteri.

"Ini juga termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan berkenaan dengan kuasa-kuasa menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen dan setiausaha politik.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itulah daripada awal sebagai timbalan menteri, saya tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat sama ada oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mahupun pihak berkuasa polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mahupun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana saya bukan pihak yang punya sebarang kuasa atau terlibat secara langsung ataupun tidak.

"Bahkan Laporan RCI Tabung Haji juga tidak langsung menyebutkan dan membabitkan saya sebagai timbalan menteri," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!