Peniaga mengaku libas anak tiri guna ‘hanger’

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atasnya.
A
A
A

MELAKA - Seorang peniaga makanan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Rabu atas pertuduhan menganiaya anak tirinya berusia 10 tahun 11 bulan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dalam kejadian minggu lalu.

Tertuduh, Syed Khairul Anwar Syed Jaafar, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada 4 Ogos 2026 di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, Melaka Tengah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, semasa kejadian mangsa dikejutkan daripada tidur oleh tertuduh dan disuruh membuat latihan sekolah.

Selepas bangun, tertuduh menghampiri mangsa sambil memegang penyangkut baju plastik sebelum melibas bahagian belakang badan mangsa sebanyak lima kali sehingga mengakibatkan kesan lebam pada bahagian punggung.

Kejadian itu dikatakan berlaku beberapa kali sebelum ini, namun ibu mangsa tidak mengambil tindakan kerana mendakwa suaminya seorang yang panas baran.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan alasan hanya bekerja sebagai peniaga makanan dan perlu menanggung tiga anak kandung serta dua anak tiri.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh turut menyatakan kekesalan atas perbuatannya itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan menetapkan Jumaat ini untuk jatuh hukum.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!