[VIDEO] Seleweng minyak peket bersubsidi, proses jadi minyak terpakai
NIBONG TEBAL - Minyak masak peket bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat dikesan diseleweng dengan cara dicampur pewarna sebelum diproses menjadi minyak terpakai untuk dijual pada harga RM3.50 sepeket.
Kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan Ops Tiris 4.0 Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang terhadap tiga premis berasingan pada malam Selasa.
Hasil serbuan menemukan kira-kira 3,150 kilogram (kg) minyak masak peket satu kilogram pelbagai jenama bernilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM95,000.
Pengarah KPDN Pulau Pinang berkata, S Jegan berkata, jumlah berkenaan merangkumi kira-kira 2,300 kg minyak masak yang ditemukan di dua premis pertama manakala 850 kg lagi dikenal pasti sebagai lebihan stok di sebuah premis berlesen.

Menurutnya, risikan selama kira-kira sebulan dilakukan sebelum sepasukan penguat kuasa menyerbu ketiga-tiga premis berkenaan pada Selasa.
“Pemeriksaan turut menemukan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara, dua bungkus plastik kosong minyak masak peket yang telah dipotong plastiknya, dua bilah pisau, satu set pam bersama hos serta sebuah tangki 'Intermediate Bulk Container' (IBC) berkapasiti 1,000 liter.
“Turut dirampas satu salinan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) Runcit, penimbang elektrik, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tiga unit bakul,” katanya pada sidang akhbar di Stor Eksibit KODN Pulau Pinang, Simpang Ampat di sini pada Rabu.
Beliau menambah, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut di premis ketiga mendapati Lesen CSA Runcit yang dikemukakan didaftarkan atas nama lelaki terbabit.
“Had simpanan yang dibenarkan ialah 1,000kg namun pemeriksaan mendapati terdapat kira-kira 1,850kg minyak masak disimpan di premis berlesen berkenaan.
“Ini bermakna terdapat lebihan stok kira-kira 850kg daripada had yang dibenarkan,” katanya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati dua kesalahan disyaki dilakukan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kulim bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Modus operandi yang dikesan ialah minyak masak peket tersebut dipotong sebelum dicampurkan dengan pewarna dan dimasukkan ke dalam tangki IBC untuk dijadikan minyak terpakai.
“Minyak terpakai itu kemudiannya dijual pada harga RM3.50 sepeket," katanya.

Menurutnya, kegiatan itu membimbangkan kerana minyak masak bersubsidi yang sepatutnya membantu golongan memerlukan telah disalahgunakan untuk mendapatkan keuntungan.
“Keuntungan boleh diperoleh kira-kira RM1 bagi setiap peket tanpa perlu melalui saluran jualan minyak masak bersubsidi kepada pengguna.
“Minyak terpakai pula sememangnya mempunyai permintaan dan terdapat banyak pihak yang mengutip minyak terpakai,” katanya.
Jegan berkata, pihak yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Jika disabitkan, individu tersebut boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Jegan berkata, KPDN Pulau Pinang memandang serius sebarang usaha menyeleweng barang kawalan bersubsidi kerana ia boleh menjejaskan bekalan serta hak pengguna untuk menikmati manfaat subsidi kerajaan.
“KPDN Pulau Pinang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

