Kerajaan Madani utamakan pendeposit TH berbanding kepentingan politik - Aiman Athirah

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani memberi keutamaan kepada kepentingan pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) dan pemulihan amanah umat, berbanding mengejar keuntungan politik jangka pendek menerusi proses pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) secara berhati-hati.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah tersebut bagi memastikan kestabilan institusi kewangan yang menguruskan simpanan lebih 10 juta pendeposit itu, tidak terjejas sehingga mencetuskan kebimbangan awam.
Beliau berkata, tindakan sedemikian penting bagi mengelakkan pengeluaran panik dalam jumlah besar seperti yang pernah berlaku pada 2018, yang menyaksikan pengeluaran simpanan mencecah lebih RM6 bilion susulan isu kelemahan tadbir urus ketika itu.
"Tabung Haji bukan sekadar sebuah organisasi biasa, ia mengurus amanah lebih 10 juta pendeposit dan berkait secara langsung dengan hasrat umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima.
"Dalam keadaan seperti ini, tindakan kerajaan seharusnya bukan sekadar mengurus persepsi politik, tetapi memastikan kestabilan sebuah institusi yang menjadi tempat simpanan dan harapan jutaan umat Islam terus diberikan keutamaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Aiman Athirah berkata, maklum balas pihak tertentu khususnya Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), yang mempersoalkan tempoh masa pendedahan laporan itu perlu dijawab dengan fakta serta tanggungjawab dan bukannya retorik politik.
Beliau turut merujuk titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya isu berkenaan disiasat sehingga ke "lubang cacing”, yang menunjukkan ia bukan sekadar kelemahan biasa, sebaliknya melibatkan kepincangan tadbir urus yang serius.
Selain itu, beliau menyambut baik penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada Sidang Khas Dewan Rakyat semalam, bahawa lebih 70 peratus daripada syor RCI berkaitan pengurusan dan operasi TH telah dilaksanakan.
"Pelaksanaan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah merupakan langkah penting bagi memastikan setiap persoalan dijawab secara tuntas dan kelemahan dikenal pasti dengan jelas,” katanya.
Aiman Athirah juga menyokong komitmen kerajaan untuk meminda Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] bagi memperkukuh tadbir urus, mengehadkan kuasa menteri serta memastikan TH bebas daripada pengaruh dan pelantikan politik.
Mengenai hasil pemulihan TH, beliau berkata, pendapatan pelaburan institusi itu mencatat rekod tertinggi RM4.64 bilion pada 2025, manakala agihan keuntungan meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025.
Aiman Athirah berkata, kos haji berjaya dikekalkan pada RM33,000 bagi tiga musim berturut-turut meskipun kos pengurusan meningkat, manakala tadbir urus, profesionalisme dan kualiti pengurusan TH diperkasakan.
Beliau berkata, Kerajaan Madani memilih untuk memulihkan keyakinan pendeposit, memperkukuh kedudukan kewangan, memperbaik tadbir urus dan menstabilkan semula operasi TH sebelum Laporan RCI itu didedahkan kepada umum.
"Pendekatan itu mengambil kira keadaan pada 2018, apabila kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan TH menjejaskan keyakinan sebahagian pendeposit, sehingga menyebabkan pengeluaran panik melebihi RM6 bilion,” katanya.
Aiman Athirah turut menyelar tindakan segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu pendedahan laporan tersebut, serta menyifatkan tindakan keluar dewan semasa sidang khas itu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Semasa sidang khas itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan TH mencatatkan kerugian hampir RM13 bilion daripada 14 pelaburan bermasalah, dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.
Jumlah itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
