'Ahli Lembaga TH bukan 'pasu bunga', tak boleh lari tanggungjawab' - Syahredzan

KUALA LUMPUR - Ahli Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sekadar memegang jawatan, menerima elaun dan keistimewaan, sebaliknya mempunyai tanggungjawab fiduciari terhadap institusi pengurusan dana jemaah haji itu.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, justeru ahli lembaga yang berkhidmat pada penggal ketika TH mengalami kemerosotan sehingga mencapai titik paling rendah pada 2017, tidak sepatutnya mengelak daripada memikul tanggungjawab terhadap keadaan berkenaan.
Beliau berkata, persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap situasi sukar yang melanda TH dalam tempoh berkenaan.
"Saya ingin tegaskan di sini bahawa ahli-ahli Lembaga Tabung Haji pada penggal tersebut ataupun 'period' tersebut bukanlah 'pasu bunga'.
"Mereka dilantik dan mereka mempunyai tanggungjawab fiduciari terhadap Tabung Haji.
"Mereka tidak boleh ambil elaun, ambil gaji, dapat keistimewaan sebagai ahli lembaga tetapi mengelak daripada tanggungjawab apabila berlakunya masalah atau kerosakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan Sidang Khas Parlimen mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

