TH lulus pembelian Putrajaya Perdana ketika di bawah kawalan Jho Low

Amir Hamzah
Amir Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Putrajaya Perdana Berhad berada di bawah kawalan Jho Low melalui UBG Bhd ketika Lembaga Tabung Haji (TH) meluluskan pembelian 30 peratus pegangan syarikat itu pada 2014.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkara tersebut berdasarkan keterangan bersumpah seorang pengarah Putrajaya Perdana yang direkodkan dalam prosiding mahkamah berkaitan SRC International.

Menurutnya, berdasarkan keterangan tersebut, Putrajaya Perdana terus berada di bawah kawalan Jho Low melalui UBG Bhd sehingga proses penjualan syarikat berkenaan oleh UBG selesai pada 13 April 2015.

"Berdasarkan rekod keterangan bersumpah, ketika Putrajaya Perdana berada di bawah kawalan Jho Low, ketika itulah panel pelaburan, lembaga dan menteri meluluskan pembelian serta perjanjian jual beli ditandatangani.

“Mahkamah tidak membuat sebarang penemuan mengenai perkara ini dan ia kekal sebagai keterangan bersumpah dalam rekod," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung haji (TH) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, berdasarkan kronologi menunjukkan panel pelaburan meluluskan cadangan pembelian pada 24 Julai 2014, diikuti kelulusan lembaga pada 25 Ogos dan menteri pada 27 Ogos sebelum perjanjian jual beli ditandatangani pada 3 Disember tahun sama.

Amir Hamzah turut mendedahkan bahawa pada 24 Julai 2014, panel pelaburan TH telah meminta pihak pengurusan mengenal pasti identiti pemegang saham muktamad penjual.

"Namun, penilaian tersebut tidak merekodkan sebarang jawapan daripada pihak pengurusan dan jual beli tetap diteruskan," katanya.

Terdahulu beliau menjelaskan, TH membayar RM193.3 juta pada Disember 2014 kepada Cendana Destini bagi memperoleh 30 peratus ekuiti dalam Putrajaya Perdana yang telah dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia sejak 2010.

Artikel Berkaitan:

Pelaburan itu dibuat berdasarkan dua janji, iaitu Putrajaya Perdana akan disenaraikan semula dalam tempoh setahun dan mencapai keuntungan RM86 juta pada 2015.

Bagaimanapun, kedua-dua janji berkenaan gagal dicapai menyebabkan TH melaksanakan opsyen jual pada Mac 2018 berjumlah RM210.7 juta.

"Penjual kemudiannya dituntut mengambil semula saham berkenaan, namun gagal membuat pembayaran.

"Setakat tahun kewangan 2024, pelaburan itu mengalami susut nilai sepenuhnya berjumlah RM193.5 juta.

"TH kini mengambil tindakan undang-undang berkaitan pelaburan tersebut dan telah memperoleh injunksi Mareva atau perintah pembekuan aset, manakala perbicaraan ditetapkan pada 23 Jun 2027," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!