Kelantan kekal negeri tertinggi keluasan Tanah Rizab Melayu

Mohd Nassuruddin (kanan) yang menjawab soalan pada Sidang DUN Kelantan.
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Nassuruddin (kanan) yang menjawab soalan pada Sidang DUN Kelantan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Sebanyak 526,083 hektar atau 91.58 peratus daripada keseluruhan tanah berhak milik di Kelantan merupakan Tanah Rizab Melayu berdasarkan rekod pentadbiran tanah sehingga Jun lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, keluasan berkenaan melibatkan 816,020 hak milik daripada keseluruhan 859,275 hak milik tanah di negeri ini.

“Kelantan kekal negeri tertinggi keluasan Tanah Rizab Melayu berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Daripada jumlah keseluruhan keluasan tanah berhak milik bagi Negeri Kelantan sebanyak 574,427 hektar, keluasan Tanah Rizab Melayu ialah 526,083 hektar bersamaan 91.58peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Pasir Tumboh, Datuk Abdul Rahman Yunus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Rabu.

Abdul Rahman meminta kerajaan negeri menyatakan keluasan semasa Tanah Rizab Melayu di Kelantan serta sama ada berlaku penyusutan akibat pembangunan bandar atau pembatalan status tanah berkenaan.

Menurut Mohd Nassuruddin, baki tanah di luar Rizab Melayu ialah 48,344.5 hektar atau 8.4 peratus yang melibatkan 43,255 hak milik.

“Angka ini merupakan jumlah yang sudah diselaraskan bagi kesemua 11 daerah.

“Secara keseluruhannya, kedudukan semasa menunjukkan bahawa lebih sembilan per 10 daripada keluasan tanah berhak milik di Negeri Kelantan berada dalam kategori Rizab Melayu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dari segi keluasan, Gua Musang merekodkan kawasan Tanah Rizab Melayu terbesar iaitu 122,735.5 hektar, diikuti Pasir Mas sebanyak 56,656.7 hektar, Tanah Merah (56,246 hektar) dan Kuala Krai (53,473 hektar).

Katanya, dari segi peratusan pula, Tanah Merah merekodkan kadar tertinggi iaitu 99.99 peratus.

“Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu dan Jeli juga masing-masing merekodkan kadar melebihi 99 peratus.

“Oleh yang demikian, tidak berlaku penyusutan kawasan Rizab Melayu di negeri Kelantan kerana Seksyen 13A Enakmen Rizab Melayu Kelantan membenarkan pemilikan tanah kepada bukan Melayu dalam Rizab Melayu,” katanya.

Menurutnya, peruntukan sama turut memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk mengawal urus niaga yang berlaku dalam kawasan Rizab Melayu.

“Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan urus niaga tanah dalam Rizab Melayu sekiranya menjejaskan kepentingan Rizab Melayu,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!