14 penempatan warga asing digempur

KAJANG - Operasi bersepadu menggempur 14 lokasi penempatan warga asing di seluruh negara dalam tempoh dua hari bermula Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi ini dilaksanakan susulan aduan dan makiumat awam berhubung kehadiran serta aktiviti warga asing di lokasi terbabit yang menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat.
Menurutnya, tindakan ini bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta mengesan sebarang bentuk pelanggaran peraturan.
"Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang turut disertai agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja serta Majlis Keselamatan Negara menahan 1,043 warga asing terdiri daripada 880 lelaki dan 163 wanita berusia lingkungan 17 hingga 59 tahun.
"Ia susulan pemeriksaan 3,307 individu sepanjang operasi itu," katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan Op Sasar di Apartment Suteramas, Sungai Chua di sini pada Selasa.
Beliau berkata, paling ramai tangkapan ialah Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.
Katanya, penguatkuasaan akan diteruskan dan secara purata lebih lima operasi dilaksanakan setiap hari.
"Kita tidak akan berhenti dan akan teruskan tindakan sehinggalah isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat kita kurangkan.
"Bagi saya operasi ini memberi kesan. Tahun ini lebih 31,000 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal dan mereka yang ditangkap dan masuk depot seramai 28,000 setakat Julai," ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria menyeru warga asing untuk mengambil peluang untuk pulang secara sukarela melalui Program Repatriasi Migran (PRM).
"Kita masih laksanakan PRM. Datang serah diri dan bayar kompaun.
"Mereka yang berada di negara kita secara tidak sah sebaiknya ambil peluang program dibuat ini supaya mereka tidak ditahan di depot imigresen," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
