Penggodam Korea Utara dipercayai guna AI jadi senjata baharu

SEOUL – Kumpulan penggodam Korea Utara, Kimsuky dipercayai mula menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan melancarkan serangan siber termasuk menganalisis data dicuri dan menghasilkan kandungan penipuan yang lebih meyakinkan.
Menurut laporan Reuters yang memetik firma keselamatan siber Korea Selatan, Genians, kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Korea Utara itu didapati membangunkan infrastruktur untuk menjalankan dan mengurus model AI secara tempatan.
Antara teknologi yang dikenal pasti termasuk Ollama, GPT4All dan Msty selain teknologi carian dokumen dikenali sebagai retrieval augmented generation (RAG).
Menurut Genians, penggunaan model AI secara tempatan membolehkan pengendali memproses dokumen tanpa perlu menghantar maklumat sensitif kepada perkhidmatan AI luaran.
Laporan itu turut mendapati Kimsuky menggunakan rangka kerja pembangunan ejen AI, perisian penukaran suara kepada teks serta Cursor, iaitu peralatan bantuan pengekodan berasaskan AI.
Perkembangan berkenaan menunjukkan penggunaan AI oleh kumpulan tersebut mungkin sudah bergerak melangkaui menghasilkan kandungan untuk tujuan phishing atau penipuan dalam talian.
Sebaliknya, teknologi itu dipercayai berpotensi digunakan bagi membantu pembangunan perisian hasad, menganalisis maklumat yang dicuri serta mengautomasikan sebahagian operasi serangan siber, menurut laporan Reuters.
Genians turut menemui dokumen umpan berkaitan kewangan dan mata wang kripto yang dipercayai dihasilkan menggunakan AI.
Dokumen berkenaan direka menyerupai laporan pelaburan dan bahan berkaitan pekerjaan yang sah, sekali gus berpotensi digunakan bagi memperdaya mangsa.
Bagaimanapun, Reuters melaporkan penemuan Genians itu belum dapat disahkan secara bebas.
Kimsuky merupakan kumpulan penggodam yang telah lama dikaitkan dengan operasi siber Korea Utara, termasuk aktiviti pengintipan, pencurian maklumat dan penjanaan dana.
Menurut Reuters, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan sebelum ini telah memberi amaran mengenai aktiviti siber yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.
Jabatan Perbendaharaan AS pada 2023 turut mengenakan sekatan terhadap Kimsuky dan menyifatkannya sebagai kumpulan pengintipan siber yang dikawal kerajaan Korea Utara.
Penggunaan AI oleh kumpulan penggodam menimbulkan kebimbangan baharu dalam keselamatan siber kerana teknologi itu berpotensi mempercepatkan proses yang sebelum ini memerlukan kemahiran teknikal dan masa yang lebih panjang.
Perkembangan itu juga menunjukkan perlumbaan AI bukan lagi hanya berkisar kepada persaingan membangunkan model paling pintar, sebaliknya teknologi sama boleh dimanfaatkan pihak yang mahu menjalankan operasi siber terhadap kerajaan, syarikat dan individu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

