73.17kg dadah dirampas, 14 kes tangkapan warga Malaysia di luar negara - Polis

Hussein (kanan) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hussein (kanan) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM – Sebanyak 14 kes membabitkan tangkapan 14 warga tempatan di luar negara berkaitan penyeludupan dadah direkodkan sepanjang Januari hingga Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, seramai 11 individu merupakan lelaki manakala tiga lagi wanita berusia antara 19 hingga 55 tahun.

"Kes berkenaan melibatkan rampasan keseluruhan sebanyak 73.17 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5.519 juta.

"Pecahan mengikut jenis dadah menunjukkan methamphetamine mencatat rampasan tertinggi iaitu 33,533.5 gram, diikuti MDMA sebanyak 26,115.5 gram, ganja sebanyak 6,400 gram, heroin sebanyak 6,118 gram dan ketamin sebanyak 1,002 gram," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.

Hussein berkata, Taiwan merekodkan jumlah tangkapan tertinggi membabitkan enam kes, dengan kesemua tangkapan dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taipei.

"Ia diikuti Filipina dan Indonesia masing-masing merekodkan dua kes, manakala Hong Kong, Macau dan Maldives masing-masing satu kes," katanya.

Sementara itu, Hussein berkata, statistik kes dan tangkapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh sama menunjukkan seramai 51 individu ditahan membabitkan 41 kes.

Hussein ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hussein ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, 36 lelaki manakala 15 perempuan, dengan nilai rampasan keseluruhan dadah mencecah RM96.9 juta," katanya.

Menurutnya, rampasan dadah di KLIA pula didominasi bunga ganja sebanyak 1,244.99 kilogram, diikuti methamphetamine sebanyak 13.99 kilogram, kokain sebanyak 7.86 kilogram dan ketamin sebanyak 1.32 kilogram.

"Daripada 51 tangkapan itu, 12 merupakan warga tempatan, selain itu kita turut memberkas warga United Kingdom, Malaysia, Singapura, Perancis, Indonesia, Hong Kong, Jepun, Thailand, Ireland, Slovakia, India, Portugal dan Republik Uganda," katanya.

Hussein berkata, statistik berkenaan memperlihatkan lapangan terbang menjadi antara lokasi yang terus diberi perhatian dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah merentasi sempadan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!