Polis Malaysia diberi dua hari temu bual juruterbang ditahan di Jakarta

Hussein pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Hussein pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Polis diberi kebenaran selama dua hari untuk menemubual seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan kerana disyaki menyeludup dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai empat pegawai polis telah tiba di Jakarta pagi Selasa bagi tujuan berkenaan.

"Kita telah diberikan ruang oleh Polis Republik Indonesia (POLRI) selama dua hari iaitu pada esok dan 13 Ogos untuk menemui warga Malaysia itu.

"Kita akan mengumpul maklumat lebih banyak dan tepat untuk dibandingkan dengan apa yang kita dapat setakat ini. Beberapa perkara lain juga akan ditanya termasuk berkaitan sindiket bagi membantu siasatan kes itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan seorang juruterbang tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis ekstasi bersama sejumlah kecil syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 28 Julai lalu.

Media Indonesia melaporkan suspek lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun dipercayai cuba membawa masuk lebih 70,000 pil ekstasi ke negara itu.

Lelaki terbabit dilaporkan mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan pihak berkuasa di Terminal 3 lapangan terbang berkenaan.

Susulan itu, seorang kakitangan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan dipanggil bagi direkodkan keterangan.

Mengulas lanjut, Hussien berkata, pihaknya setakat ini telah memanggil empat hingga lima individu bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Tumpuan utama kita lebih kepada sindiket atau ahlinya yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Kita setakat ini berpuas hati dengan keterangan yang diambil namun masih terlalu awal untuk mendedahkan individu terlibat termasuk unsur berkaitan 'orang dalam'," ujarnya.

Hussein berkata, siasatan kes itu tidak mudah kerana melibatkan sindiket yang menggunakan identiti palsu.

"Biarpun kita berjaya mengesan nombor telefon, ia bukan boleh terus saja ditangkap kerana sindiket itu didapati menggunakan identiti palsu.

"Kita juga perlu siasat faktor sindiket itu berada di Malaysia atau luar negara yang mempunyai kaitan dengan juruterbang tersebut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang Malaysia berdepan hukuman mati kes seludup 26kg dadah ke Indonesia

PDRM sahkan penahanan juruterbang Malaysia kes dadah di Indonesia

Kes dadah libat juruterbang: Malaysia Airlines sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia

Juruterbang warga Malaysia ditahan di Jakarta disyaki seludup 26kg dadah

Kes juruterbang seludup 26kg dadah ke Indonesia: Polis teliti rakaman CCTV di KLIA

Juruterbang ditahan di Indonesia: Bagasi lepasi saringan KLIA, tiada objek mencurigakan dikesan

Kes dadah juruterbang Malaysia: MAHB beri kerjasama penuh kepada agensi penguat kuasa

Kes juruterbang seludup dadah: SOP keselamatan lapangan terbang diteliti semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!