PPM rampasan syabu bernilai RM550,000 dirampas, suspek terjun laut

SEMPORNA - Dadah jenis syabu bernilai lebih RM550,000 berjaya dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam operasi yang dilakukan di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, dekat sini pada Isnin.
Dalam operasi kira-kira jam 1.45 pagi itu, seorang lelaki yang menaiki bot terjun ke dalam laut dan meninggalkan 11.06 kilogram dadah yang cuba diseludup ke daerah ini.
Komander PPM W4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya berjaya mengesan aktiviti pengedaran dadah di daerah tersebut.
"Sebuan bot laju dikesan dalam keadaan mencurigakan dan ketika cuba dihampiri, seorang lelaki bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan darat.
"Usaha mengesan suspek telah dijalankan namun gagal ditemui. Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan menemukan 11 bungkusan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 11.06 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM550,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ses disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kesemua barang termasuk bot dan dadah dirampas dengan jumlah keseluruhan rampasan lebih RM578,000," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan jenayah dadah, Ahmad Amri berkata, pihaknya telah merekodkan 15 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan 24 tangkapan, dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan melebihi RM718,000 bagi sepanjang tahun ini.
"PPM W4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan dan rondaan secara bersepadu bersama JSJN Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran serta penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
