Kes juruterbang seludup 26kg dadah ke Indonesia: Polis teliti rakaman CCTV di KLIA

KUALA LUMPUR - Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta imej pengimbas bagasi susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) yang didakwa menyeludup 26 kilogram (kg) dadah ke Indonesia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia dan membuka siasatan di Malaysia berhubung kes berkenaan.
"Siasatan tertumpu kepada usaha mengenal pasti sumber bekalan dadah, individu yang dipercayai mengarahkan suspek serta rangkaian sindiket yang mungkin terbabit.
"Kita akan menyiasat kemungkinan wujud rangkaian sindiket yang menggunakan penerbangan atau laluan udara untuk menyeludup dadah berkait kes ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Hussein berkata, suspek juga disyaki pernah melakukan kegiatan dengan menggunakan modus operandi sama sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang warga Malaysia ditahan di Jakarta disyaki seludup 26kg dadah
PDRM sahkan penahanan juruterbang Malaysia kes dadah di Indonesia
Kes dadah libat juruterbang: Malaysia Airlines sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia
Juruterbang Malaysia berdepan hukuman mati kes seludup 26kg dadah ke Indonesia
Dalam pada itu, Hussein turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran membawa barangan bagi mendapatkan bayaran lumayan.
"Orang ramai dinasihatkan lebih peka dan berhati-hati agar tidak terperangkap dengan tipu muslihat sindiket bagi mengelak diperalatkan untuk menyeludup dadah," katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 26 kilogram dadah.
Menurut Polis Republik Indonesia (POLRI), pemeriksaan menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta mengikut harga pasaran Indonesia.
Suspek dipercayai menerima upah RM50,000 bagi membawa dadah berkenaan dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain di hotel penginapannya.
Polis Indonesia turut memaklumkan suspek mengaku pernah melakukan penghantaran dadah ke Jakarta dan Sabah sebelum ini, manakala siasatan sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket di Malaysia dan Indonesia.
Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan syarikat itu memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Indonesia serta menjalankan semakan dalaman berhubung kes berkenaan.
Menurut syarikat penerbangan itu, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, manakala aspek keselamatan, sekuriti dan integriti operasi kekal menjadi keutamaan.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan penggantungan atau pembatalan lesen juruterbang berada di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan akan dipertimbangkan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa berkaitan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
