Wanita warga emas maut disambar buaya ketika mencari siput

MIRI - Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut disambar dan diheret buaya ketika mencari siput bersama dengan anak perempuannya di sungai berhampiran Batu Niah hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku berhampiran simpang sebelum Jambatan Suai ketika Sambai Anggah berada di atas perahu manakala anaknya di dalam sungai, hanya kira-kira satu meter daripada mangsa.
"Anak mangsa menyaksikan sendiri buaya berkenaan tiba-tiba menyambar ibunya dan mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu.
"Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bertindak mengepung buaya berkenaan sehingga buaya tersebut melepaskan mangsa, yang kemudiannya dibawa naik ke jeti,” menurut kenyataan itu.
Menurut JBPM Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.26 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah tiba di lokasi kira-kira 30 minit selepas itu.
Operasi ditamatkan pada 1.45 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
