'Hati-hati semua, buaya dah naik ke darat'

Tangkap layar video tular memaparkan seekor buaya di Pantai Tanjung Gemuk, Port Dickson pada Isnin.
Tangkap layar video tular memaparkan seekor buaya di Pantai Tanjung Gemuk, Port Dickson pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON – Rakaman video memaparkan kemunculan seekor buaya di Pantai Tanjung Gemuk di sini yang dipercayai sedang membaham seekor anjing mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengunjung dan penduduk setempat.

Video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial itu dipercayai dirakam kira-kira jam 11.45 malam pada Isnin.

Dalam video tersebut, individu yang merakam turut memberikan nasihat agar orang ramai berhati-hati. 

"Dekat Pantai Tanjung Gemok dah naik seekor buaya. Hati-hati orang kampung," katanya dalam video tular. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.

"Setakat ini tiada mana-mana individu tampil membuat aduan kepada Perhilitan berhubung kehadiran reptilia berkenaan dan kita hanya mengetahui mengenainya selepas rakaman video itu tular.

"Malam ini anggota Perhilitan akan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau mengganggu haiwan liar sekiranya terserempak dengannya.

"Sebaliknya, orang ramai diminta segera memaklumkan kepada Perhilitan atau pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!