Siapa hendak bela nasib buaya?

BERDASARKAN kajian akademik yang dijalankan oleh penyelidik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi tempoh 2001 hingga 2020 menunjukkan 205 kes serangan buaya terhadap manusia direkodkan di Sabah dan Sarawak.
Mereka mendapati purata kejadian ialah hampir 11 kes setahun dengan Sarawak dianggarkan 135 hingga 164 kes dan Sabah sekitar 70 kes.
Ini menjadikan Sarawak dengan jumlah serangan buaya hampir dua kali ganda berbanding Sabah.
Di Sarawak banyak kes melibatkan nelayan, penangkap udang, pekerja ladang sawit dan penduduk yang mandi atau mengambil air di sungai.
Antara lokasi yang menjadi lokasi serangan buaya ialah di Sungai Batang Lupar, Batang Rajang, Sungai Seblak dan beberapa sungai utama.
Ini menjadikan negeri itu mempunyai populasi buaya terbesar di Malaysia. Kerajaan negeri Sarawak mengakui populasi semakin meningkat dan sedang mengkaji model pengurusan termasuk mewujudkan kawasan perlindungan seperti di Australia.
Di Sabah, konflik manusia dan buaya sering dilaporkan di kawasan Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu dan beberapa sungai di pantai timur merupakan lokasi yang kerap melaporkan kehadiran buaya.
Namun Semenanjung Malaysia, kes lebih jarang berlaku tetapi pernah dilaporkan di Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.
Kebanyakan melibatkan buaya tembaga (crocodylus porosus) yang memasuki muara atau kawasan pantai.
Pada umumnya, Malaysia mempunyai dua spesies utama iaitu buaya tembaga (saltwater crocodile – crocodylus porosus) yang merupakan spesies terbesar dan boleh melebihi enam meter.
Spesies ini bertanggungjawab terhadap hampir semua serangan serius ke atas manusia.
Spesies kedua ialah buaya Siam (crocodylus siamensis), namun sangat jarang ditemui di habitat liar Malaysia dan populasi kecil serta lebih tertumpu kepada program pemuliharaan.
Konflik antara buaya dan manusia meningkat kerana pertambahan populasi buaya hasil perlindungan undang-undang, termasuk pembukaan kawasan pertanian dan penempatan berhampiran habitat sungai.
Selain itu kerana kehilangan habitat semula jadi menyebabkan kawasan manusia dan buaya semakin bertindih.
Jadi disebabkan itu, banyak buaya ganas dan telah membaham manusia diburu dan dibunuh supaya ia tidak lagi memberi ancaman kepada manusia.
Tetapi nasib buaya tidak sama seperti anjing kerana jarang kita dengar ada mana-mana pihak yang memperjuangkan spesies tersebut.
Mungkin kerana sifatnya yang ganas dan buruk menyebabkan ia bukanlah haiwan yang boleh dijadikan peliharaan serta kesayangan.
Berbeza dengan anjing walaupun ada jenis yang garang seperti Rottweiler atau huduh seperti Bulldog masih ada yang sayang.
Sebab itu apabila ada tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap anjing-anjing liar yang dibimbangi boleh ancam keselamatan masyarakat mendapat tentangan hebat sesetengah pihak.
Mereka lupa bahawa tindakan yang terpaksa diambil itu disebabkan sudah ada kes yang menyebabkan seorang lelaki berdepan kemungkinan mengalami kecacatan otak kekal.
Mangsa, Muhamad Shahrul Yuzzi Che Ahmad, 27, merupakan seorang mekanik koma lebih seminggu selepas motosikal ditunggangnya terbabas dipercayai akibat dikejar sekumpulan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah di Klang, Selangor.
Jadi kepada pencinta haiwan tersebut bolehlah memulakan kutipan dana bagi membantu meringankan beban Muhamad Shahrul kerana musibah yang berlaku terhadap pemuda itu.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
