SD Guthrie catat untung bersih lebih RM1.5 bilion

Dari kiri: Ketua Pegawai Kewangan SD Guthrie, Shahrizal Suhainy; Mohd Haris dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Tradin, Sandeep Bhan ketika mengumumkan prestasi suku kedua tahun kewangan 2026 Kumpulan di ibu negara pada Selasa.
Dari kiri: Ketua Pegawai Kewangan SD Guthrie, Shahrizal Suhainy; Mohd Haris dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Tradin, Sandeep Bhan ketika mengumumkan prestasi suku kedua tahun kewangan 2026 Kumpulan di ibu negara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - SD Guthrie Berhad (SD Guthrie) mencatatkan keuntungan bersih melebihi RM1.5 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, melonjak 44 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Prestasi kukuh kumpulan didorong keuntungan yang lebih tinggi daripada segmen Hiliran serta sumbangan pendapatan yang kukuh daripada segmen Pembangunan Perindustrian, sekali gus mencerminkan daya tahan model perniagaan Kumpulan tersebut yang pelbagai.

Bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q FY2026), keuntungan bersih SD Guthrie meningkat kepada RM987 juta, hampir dua kali ganda berbanding RM505 juta yang dicatat dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Prestasi kukuh tersebut disokong oleh sumbangan besar daripada segmen Pembangunan Perindustrian yang mencatatkan PBIT sebanyak RM529 juta.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, pelaksanaan strategi yang berdisiplin oleh SD Guthrie sepanjang separuh pertama tahun ini telah membuahkan hasil yang memberangsangkan walaupun berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik.

"Keupayaan barisan kepimpinan baharu mengekalkan momentum pertumbuhan yang telah dibina sejak awal tahun akan membolehkan SD Guthrie terus mencapai prestasi yang kukuh serta mencipta nilai yang mampan kepada para pemegang saham," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Haris Mohd Arshad dalam sidang akhbar pengumuman tersebut berkata, prestasi kukuh separuh pertama tahun ini serta sumbangan pendapatan yang berterusan mencerminkan kemajuan transformasi kumpulan ke arah organisasi yang lebih pelbagai dan bersedia menghadapi masa depan.

Mohd Haris
Mohd Haris

Artikel Berkaitan:

Katanya, kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan Pembangunan Perindustrian dan Tenaga Boleh Baharu menerusi kerjasama strategik.

"Bagi tenaga boleh diperbaharui, kami terus mencatat kemajuan walaupun ia masih merupakan segmen perniagaan yang baharu.

"Kami memberi tumpuan kepada projek solar dan sedang meneroka peluang kerjasama di Sarawak bersama rakan strategik.

“Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) telah ditandatangani dan kami menyasarkan untuk memuktamadkan urus niaga berkenaan menjelang akhir bulan ini," katanya.

Dalam pada itu, Segmen hiliran kumpulan, SD Guthrie International (SDGI) turut menunjukkan peningkatan apabila PBIT naik lapan peratus tahun ke tahun kepada RM136 juta.

Prestasi berkenaan membantu mengimbangi penurunan sebanyak lima peratus daripada segmen Huluan, bersama harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit direalisasikan yang lebih tinggi pada RM4,283 dan RM3,436 bagi setan metrik.

Dalam jangka masa terdekat hingga sederhana, SD Guthrie menjangkakan pengetatan bekalan global dan permintaan yang berdaya tahan akan menyokong serta meningkatkan harga CPO dalam tempoh terdekat hingga sederhana.

Tekanan terhadap bekalan juga dijangka semakin meningkat berikutan kemunculan fenomena El Niño yang diramal berlaku menjelang akhir tahun.

Dari sudut permintaan, pasaran dijangka terus disokong pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia selain harga minyak mentah yang kekal tinggi susulan ketegangan geopolitik yang kembali memuncak.

Bagi segmen Huluan, Guthrie akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pengurusan risiko iklim bagi mengurangkan kesan daripada keadaan cuaca yang tidak menentu.

Segmen Hiliran pula akan terus memperkukuh portfolio melalui kepelbagaian pelanggan dan pasaran, selain memanfaatkan skala operasi Kumpulan untuk mengoptimumkan kos, meningkatkan daya saing serta mengukuhkan daya tahan dalam persekitaran operasi yang mencabar.

Segmen Pembangunan Perindustrian dijangka terus menjadi antara penyumbang penting kepada pendapatan kumpulan, sekali gus menyokong usaha Guthrie mempelbagaikan perniagaan melangkaui sektor perladangan serta meningkatkan daya tahan pendapatan Kumpulan.

Sementara itu, segmen Tenaga Boleh Baharu akan terus membina asas yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan mampan kumpulan untuk jangka masa panjang.

Secara keseluruhannya, Guthrie kekal optimis terhadap prospek tahun kewangan 2026, disokong oleh dinamik pasaran yang menggalakkan, daya tahan operasi serta momentum pelaksanaan yang kukuh dalam segmen Pembangunan Perindustrian.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!