Gempa Jepun: Ramai terperangkap di pusat beli-belah runtuh

TOKYO - Ramai mangsa dipercayai terperangkap di dalam sebuah pusat beli-belah yang terjejas akibat gempa kuat yang melanda barat daya Jepun pada Selasa.
"Kejadian itu berlaku selepas tingkat dua kompleks di bandar Kashima tersebut dilaporkan runtuh," menurut jurucakap pasukan bomba.
Terdahulu, polis memaklumkan mereka turut menerima aduan tentang insiden letupan di Aeon Mall di wilayah Kumamoto.
Gegaran berkekuatan 7.1 skala Richter pada jam 4.27 petang (waktu tempatan) yang berdurasi kira-kira 30 minit itu menyebabkan sejumlah bangunan runtuh dan terbakar hingga menyebabkan kira-kira 50 mangsa cedera dikejarkan ke hospital.
Rakaman televisyen NHK menunjukkan beberapa jambatan rosak, sebuah kereta api kargo tergelincir dan rekahan pada jalan raya akibat gegaran di Pulau Kyushu.
Sementara itu, Perdana Menteri, Sanae Takaichi memaklumkan mereka masih menilai jumlah kecederaan dan tahap kerosakan harta benda selepas lebih 12 kediaman disahkan runtuh.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) turut menarik balik amaran tsunami kira-kira dua jam selepas gempa berlaku.
Jurucakap memaklumkan tiada gelombang tsunami dikesan memandangkan aktiviti seismik itu berlaku di daratan.
Pihak Berkuasa Kawal Selia Nuklear Jepun juga memaklumkan tiada sebarang insiden luar biasa dikesan di loji janakuasa nuklear.
Menurut syarikat utiliti tempatan, Kyushu Electric Power, kira-kira 45,000 kediaman dan premis di wilayah Kumamoto terputus bekalan elektrik.
Syarikat itu mengesahkan tiga reaktor nuklear di wilayah berkenaan kekal beroperasi seperti biasa.
Pada 2016, wilayah Kumamoto pernah dilanda dua gempa bumi dahsyat berkekuatan 6.5 dan 7.3 skala Richter yang meragut 273 nyawa manakala lebih 2,800 cedera. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

