Tiga lelaki selamat, 11 jam berpaut pada motobot terbalik

Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan selepas ditemukan berpaut pada motobot yang terbalik di perairan berhampiran Pulau Choji di daerah Ongjin pada Isnin. Foto/ Pengawal Pantai Incheon.
Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan selepas ditemukan berpaut pada motobot yang terbalik di perairan berhampiran Pulau Choji di daerah Ongjin pada Isnin. Foto/ Pengawal Pantai Incheon.
A
A
A

SEOUL - Tiga lelaki yang keluar memancing di perairan di sini, berjaya diselamatkan selepas berpaut pada motobot yang terbalik selama lebih 11 jam, lapor portal The Korea Herald.

Menurut Pengawal Pantai Incheon, ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditemukan memakai jaket keselamatan pada jam 6.12 pagi waktu tempatan berhampiran Pulau Choji di daerah Ongjin, Korea Selatan.

Kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sebelum kejadian, ketiga-tiganya dilaporkan bertolak dari Wangsan di Yeongjongdo pada Ahad lalu dengan menaiki motobot seberat 0.28 tan untuk memancing.

Isteri kepada salah seorang mangsa membuat laporan polis sekitar jam 10.30 malam selepas gagal menghubungi suaminya.

Panggilan telefon terakhir daripada mangsa adalah pada jam 7.10 malam.

Susulan laporan itu, Pengawal Pantai Incheon melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggerakkan kapal peronda, pesawat dan bot di perairan sekitar Pulau Choji serta Pulau Jawol.

Ketiga-tiga mangsa berjaya ditemukan dalam operasi berkenaan.

Pihak pengawal pantai memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca bot terbalik hingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!