​Tiga lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan jenayah seksual libatkan mangsa OKU

Tangkap layar video tular menunjukkan orang ramai berkumpul di hadapan sebuah hadapan flat di Kampung Enjin Gergaji, Chukai, pada Sabtu.
Tangkap layar video tular menunjukkan orang ramai berkumpul di hadapan sebuah hadapan flat di Kampung Enjin Gergaji, Chukai, pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN – Polis menahan tiga lelaki berketurunan Rohingya bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual di kawasan Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai, di sini.

​Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, tangkapan awal itu dibuat susulan aduan yang diterima pihaknya berhubung kes berkenaan.

​Menurut beliau, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

​"Siasatan masih lagi terbuka untuk mengenal pasti suspek lain yang mungkin terlibat.

​"Pihak polis perlu memperhalusi kes ini dan mangsa juga mesti diberi ruang masa secukupnya sebelum siasatan dilengkapkan memandangkan mangsa adalah orang kurang upaya (OKU)," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

​Mengulas mengenai tular di media sosial TikTok melibatkan perhimpunan orang ramai di hadapan flat berkenaan pada jam 8.30 malam Sabtu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas.

​Jelas beliau, orang ramai diminta berhati-hati ketika menggunakan platform media sosial supaya tidak mencetuskan situasi panik, tidak harmoni, atau menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

​"Polis juga menasihati orang ramai untuk tidak mengambil tindakan yang terburu-buru ke atas mereka yang berketurunan Rohingya dan secara tidak langsung menjuruskan diri mereka dalam jenayah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau talian 09-8592222 sambungan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Hadaza Mat Amin.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!