Seorang maut nahas tiga motosikal dan MPV

IPOH – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tiga motosikal di Jalan Keramat Pulai di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Hospital Cameron Highlands kira-kira jam 9.45 malam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika MPV dipandu lelaki berusia 52 tahun dari arah Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands.

"Setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan MPV ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
"Pemandu MPV cuba mengelak ke bahu jalan, namun motosikal berkenaan melanggar bahagian hadapan kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Muhammad Najib berkata, dua lagi motosikal yang datang dari arah Cameron Highlands turut terlibat apabila penunggangnya cuba mengelak kemalangan berkenaan.
Katanya, ketiga-tiga penunggang motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan, manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Cameron Highlands untuk mendapatkan rawatan.
"Dua lagi penunggang motosikal berusia 25 dan 24 tahun mengalami kecederaan ringan," katanya.
Muhammad Najib berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

