PDRM, JIM Terengganu gempur Bakau Tinggi, buru suspek rogol wanita OKU


KUALA TERENGGANU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu menggempur kawasan Bakau Tinggi, Kemaman dalam Operasi PATI Khas bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kes rogol melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi bersepadu yang bermula jam 12.01 tengah malam hingga 6 pagi Isnin itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bersama JIM Negeri Terengganu.
"Dalam operasi tersebut, seramai 33 individu telah diperiksa terdiri daripada enam warga tempatan dan 27 warga asing meliputi enam lelaki, lima wanita serta 16 kanak-kanak.
"Daripada jumlah itu, seramai dua lelaki warga asing telah ditangkap atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Terengganu bersama Pengarah JIM Terengganu turut hadir memantau operasi berkenaan.
Mohd Khairi berkata, PDRM dan JIM akan terus memperketat pemantauan serta mengambil tindakan undang-undang dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Terengganu sentiasa terpelihara.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis menahan tiga lelaki etnik Rohingya bagi membantu siasatan kes jenayah seksual membabitkan seorang wanita OKU di kawasan Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan direman bermula 8 Ogos hingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek lain yang mungkin terlibat.
Sementara itu, Mohd Khairi memberi peringatan kepada semua lapisan masyarakat agar tidak mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan undang-undang terhadap warga asing.
"Serahkan sepenuhnya urusan serta tindakan siasatan kepada pihak berkuasa dan elak daripada melakukan sebarang tindakan melampau yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan masyarakat setempat.
"Orang awam juga dinasihatkan agar menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan mengelak daripada menyebarkan sebarang spekulasi, maklumat tidak sahih atau kenyataan berunsur provokasi yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat," jelas beliau.
Mohd Khairi berkata, penggunaan media sosial secara tidak wajar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
"Mereka yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan diminta menyalurkan ke balai polis berdekatan, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone (VSP)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

