X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah perlu bersedia hadapi pasca Covid-19: Sultan Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) bersama barisan Exco dan ADUN pada Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, kerajaan Negeri Kedah hendaklah memperkemaskan perancangan pembangunan dan kaedah pelaksanaan terbaik bagi merangsang ekonomi agar pertumbuhannya dapat dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi pasca wabak koronavirus (Covid-19).

Baginda bertitah, sasaran aliran masuk pelaburan, projek pembangunan fizikal yang dirancang terutamanya projek berimpak tinggi hendaklah diteruskan, manakala program-program peningkatan taraf hidup rakyat juga harus diperkemaskan serta diperluaskan.

"Sebagai persediaan menghadapi pasca wabak Covid-19 kelak, kerajaan negeri hendaklah memperkemaskan perancangan pembangunan dan kaedah pelaksanaan terbaik demi merangsang ekonomi negeri supaya pertumbuhannya dapat dipertingkatkan lagi," titah baginda.

Titah ucapan Sultan Kedah itu diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah bersempena Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Sultan Sallehuddin berharap kerajaan negeri perlu berperanan melalui jabatan dan agensi sedia ada, supaya memudahkan cara peniaga kecil membina semula perniagaan dan membantu keluarga yang hilang sumber pendapatan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup pada masa depan.

"Semua dilaksanakan bertujuan demi memastikan ekonomi domestik dapat terus digerakkan," titah baginda.

Pada masa sama, baginda turut berbesar hati apabila beberapa jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO, swasta, institusi keagamaan dan orang perseorangan tampil membantu golongan memerlukan sepanjang berhadapan ancaman wabak Covid-19.

"Sebagai contoh, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan sejumlah peruntukan melalui platform 'Food Bank' di masjid, penyaluran bantuan makanan melalui kad Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) diteruskan dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyediakan latihan kemahiran serta keusahawanan," titah baginda.

Bagaimanapun, Sultan Sallehuddin berharap golongan terkesan itu untuk bersikap jujur dan ikhlas bahawa mereka adalah golongan yang sebenarnya memerlukan bantuan.

Sebelum itu baginda melahirkan rasa sukacita dengan tindakan kerajaan negeri mengumumkan pakej rangsangan sebanyak RM21 juta untuk membantu rakyat di Kedah yang terkesan akibat Covid-19.

Baginda bertitah, pakej rangsangan itu dapat dilaksanakan segera dalam membantu rakyat menghadapi situasi sukar tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!