Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0875/0925 berbanding dolar AS daripada 4.0885/0930 semasa ditutup pada Jumaat lepas. Foto hiasan
Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0875/0925 berbanding dolar AS daripada 4.0885/0930 semasa ditutup pada Jumaat lepas. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin berikutan data jumlah pekerjaan dalam sektor bukan pertanian (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang lemah.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0875/0925 berbanding dolar AS daripada 4.0885/0930 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata NFP pada Julai menurun sebanyak 23,000, perbezaan ketara daripada anggaran konsensus sebanyak 88,000 pekerjaan dijangka diwujudkan.

Katanya Kadar Penyertaan Tenaga Kerja (LFPR) AS terus merosot selama lapan bulan berturut-turut kepada 61.4 peratus manakala Purata Pendapatan Mengikut Jam meningkat pada kadar sederhana kepada 3.2 peratus pada Julai, menunjukkan pasaran tenaga kerja AS tidak begitu kukuh.

Oleh itu, kemungkinan kenaikan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bulan September menurun kepada 43.9 peratus berbanding 57 peratus sebelum laporan NFP dikeluarkan.

"Bagaimanapun, ketidaktentuan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz terus menjadi faktor yang sukar dijangka, yang akan mengawal sentimen pasaran.

"Justeru, ringgit dijangka berada antara RM4.07 dan RM4.09 hari ini,” katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5887/5920 daripada 2.5813/5843 semasa ditutup pada Jumaat lepas, rendah berbanding euro kepada 4.7239/7297 daripada 4.7132/7184 dan berkurangan berbanding pound kepada 5.5140/5208 daripada 5.4949/5010 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1966/2008 daripada 3.1911/1949 dan menurun berbanding baht Thailand kepada 12.3732/3944 daripada 12.3665/3843 sebelum ini.

Sementara itu, ringgit berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.70/6.72 daripada 6.71/6.72 dan mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 228.4/228.7 sebelum ini. - Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!