Mengabdi untuk semua

LEBIH tiga dekad lalu ketika berkhidmat di sebuah syarikat multinasional, saya dilantik ke dalam sebuah jawatankuasa 12 orang untuk merancang bangunan pejabat baharu. Ahli-ahli terdiri daripada 10 lelaki dan hanya dua wanita.
Apabila kami berbincang tentang susun atur bangunan, saya mencadangkan agar fasiliti tandas wanita disediakan lebih banyak berbanding lelaki. Hampir serta-merta, kebanyakan ahli lelaki ketawa, manakala dua ahli wanita berdiam diri.
Saya menjelaskan walaupun tenaga kerja kami dibahagikan hampir sama rata antara lelaki dan wanita, cara lelaki dan wanita menggunakan tandas berbeza. Wanita secara umumnya memerlukan lebih masa dan ruang.
Matematik mudah iaitu membina jumlah fasiliti yang saksama untuk kedua-duanya tanpa disedari akan mewujudkan masa menunggu yang tidak adil.
Ini bukan soal memberikan keistimewaan kepada wanita. Ini soal memahami bagaimana insan berbeza menggunakan ruang yang sama secara berbeza dan merancang berasaskan realiti, bukan andaian.
Bertahun-tahun selepas itu, setiap kali saya berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya sewaktu musim perayaan, saya sering teringat mesyuarat jawatankuasa tersebut.
Barisan di luar tandas wanita selalunya amat panjang, manakala tandas lelaki relatifnya lengang.
Sekali lagi, ini bukan sekadar isu fasiliti fizikal, ini isu kepimpinan. Ia mencadangkan di suatu tempat, seseorang telah mereka bentuk ruang awam tanpa memahami sepenuhnya keperluan semua penggunanya.
Kepimpinan yang baik bukan sekadar melayan semua orang secara serupa, kepimpinan baik ialah tentang memahami apa yang benar-benar diperlukan oleh insan berbeza. Bermula dengan contoh praktikal harian seperti fasiliti bangunan membantu kita melangkah perlahan-lahan ke dalam perbincangan jauh lebih serius dan sensitif mengenai negara kita. Cabaran teras dihadapi Malaysia hari ini berlegar di sekeliling isu kaum, agama, etnik dan bagaimana kita mentadbir masyarakat yang majmuk.
Pengajaran asas daripada tindakan melihat keperluan sebenar manusia berbanding andaian yang selesa adalah kunci utama kepada masa depan kepimpinan negara.
Apabila kita berhujah tentang keterwakilan (representation) di Malaysia hari ini, kita biasanya berfikir dalam bentuk angka. Kita bertanya berapa ramai orang Melayu, Cina, India, anak Sabah, Sarawak, wanita atau anak muda yang duduk dalam lembaga pengarah atau Kabinet.
Terdapat alasan sejarah yang kukuh untuk kita bertanyakan soalan itu. Negara kita dibina atas keseimbangan kepercayaan antara pelbagai kaum dan keterwakilan mengikut angka telah membantu memastikan setiap kumpulan utama mempunyai suara dalam mencorak negara.
Namun, setiap negara harus terus matang. Sambil kita melangkah menuju 2057, sudah tiba masanya kita bertanyakan soalan berbeza. Kita patut bertanya bolehkah seseorang pemimpin itu memahami dan mewakili insan di luar latar belakangnya sendiri?
Penanda aras
Ini adalah penanda aras yang jauh lebih tinggi. Bayangkan sebuah jawatankuasa dianggotai sepenuhnya orang Melayu. Adakah mereka masih akan memikirkan secara mendalam tentang kerisauan masyarakat Cina, India, Orang Asli, anak Sabah dan Sarawak?
Bayangkan pula jawatankuasa dianggotai sepenuhnya pemimpin Cina. Adakah mereka akan mempertimbangkan dengan cermat keperluan masyarakat Melayu termasuk hal berkaitan Islam, bahasa Melayu dan pembangunan bumiputera?
Bayangkan jawatankuasa yang kesemuanya lelaki atau golongan profesional bandar. Adakah mereka dapat menyelami pengalaman golongan wanita atau realiti harian dihadapi rakyat di luar bandar?
Inilah bentuk kepimpinan yang patut Malaysia aspirasikan untuk dibangunkan dalam tempoh 30 tahun akan datang. Matlamatnya bukanlah untuk menafikan perbezaan kita atau berpura-pura bahawa kaum, agama, budaya, jantina atau geografi tidak lagi penting. Semua itu tetap penting dan masyarakat yang berbeza kerap kali mempunyai keperluan khusus dan wajar yang memerlukan perhatian khusus.
Pekerja Muslim memerlukan fasiliti solat dan orang kurang upaya (OKU) memerlukan infrastruktur mesra akses. Begitu juga masyarakat India Tamil yang dari segi sejarahnya terpisah dari ladang pertanian, mereka menghadapi cabaran sosioekonomi unik yang memerlukan sokongan khusus, bukannya dasar bersifat umum.
Wanita memerlukan kemudahan awam berbeza, Sabah dan Sarawak menghadapi cabaran pembangunan berbeza dari Semenanjung, manakala warga emas mempunyai keutamaan berbeza daripada anak muda. Mengiktiraf realiti khusus ini bukannya memecahbelahkan, sebaliknya mengabaikannya yang memecahbelahkan.
Mengiktiraf perbezaan tidak bermakna hanya ahli daripada kumpulan tertentu boleh memahami atau menangani isu mereka. Andaian itulah perlu kita tinggalkan secara bertahap. Menjelang 2057, Malaysia patut menjadi sebuah negara dengan setiap pemimpin rasa bertanggungjawab terhadap setiap rakyat Malaysia.
Seorang pemimpin Melayu mesti memahami secara mendalam kerisauan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India. Seorang pemimpin Cina mesti menghargai secara ikhlas aspirasi masyarakat Melayu dan bumiputera.
Seorang pemimpin dari Semenanjung mesti memahami realiti Sabah dan Sarawak, sebagaimana kaum lelaki mesti mempertimbangkan keperluan wanita dan anak muda mesti menjaga kebajikan warga emas. Kepimpinan tidak lagi patut terkurung oleh identiti peribadi, sebaliknya mesti dipandu oleh tanggungjawab moral.
Untuk mencapainya, ia memerlukan lebih sekadar niat yang baik. Ia perlukan pendidikan, rasa ingin tahu, kajian, mendengar secara aktif dan kerendahan hati untuk bertanya kepada orang ramai tentang pengalaman hidup mereka, bukannya mengandaikan kita sudah tahu segala-galanya.
Antara soalan paling penting perlu dipelajari setiap pemimpin untuk ditanyakan adalah ringkas. "Siapakah yang tiada di dalam bilik ini dan bagaimanakah keputusan ini akan memberi kesan kepada mereka?"
Soalan tunggal itu mampu mengubah kualiti pembuatan keputusan di seluruh agensi kerajaan, korporat, universiti, sekolah, hospital dan setiap organisasi kemasyarakatan di Malaysia.
Apabila demografi Malaysia terus berubah dalam dekad mendatang, pola fikir ini akan menjadi semakin penting. Menjelang 2057 dan seterusnya, unjuran demografi menunjukkan populasi bumiputera akan menjadi majoriti semakin dominan, manakala masyarakat minoriti akan menyaksikan peratusan nisbah mereka mengecil.
Formula lama keterwakilan angka tegar yang berkesan pada masa lalu tidak lagi dapat menjamin masyarakat minoriti akan mempunyai kerusi di setiap meja perbincangan. Bersandar sebulat-bulatnya pada angka akan mendedahkan populasi minoriti kepada risiko, sekali gus menjadikan anjakan falsafah kepimpinan ini sesuatu yang sangat mendesak.
Tidak ada mana-mana kaum sepatutnya rasa selamat hanya kerana mereka mempunyai cukup wakil yang duduk di meja mesyuarat. Masyarakat akan rasa selamat apabila semua orang di meja itu telah mencapai kematangan untuk berfikir melampaui kepentingan diri sendiri. Itulah Malaysia yang patut kita usahakan menjelang 2057.
Saidina Umar Al-Khattab RA pernah diriwayatkan berkata, sekiranya seekor biri-biri mati kelaparan di tebing Sungai Euphrates, beliau takut ALLAH SWT akan menyoalnya di akhirat kelak. Sama ada haiwan itu kepunyaannya atau tidak, itu bukan soalnya. Haiwan itu berada di atas tanah yang diamanahkan di bawah jagaan beliau, maka beliau berasa bertanggungjawab.
Itu adalah penanda aras kepertanggungjawaban (stewardship) luar biasa. Seorang pemimpin bukan sahaja memikirkan tentang keluarganya, kaumnya atau penyokongnya sendiri, tetapi tentang setiap nyawa yang diletakkan di bawah naungannya.
Jika seorang pemimpin boleh berfikir sedemikian rupa lebih 1,400 tahun yang lalu, sudah tentu kita boleh bercita-cita mencapai piawaian yang sama di Malaysia hari ini.
Inilah budaya kepimpinan mesti kita bina dalam tempoh 30 tahun akan datang.
*Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Anas Zubedy (M) Sdn Bhd, merupakan penulis isu kepimpinan, pengurusan dan dialog antara agama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
