Malaysia menuju dekad digital baharu

PETALING JAYA - Malaysia mencatat kemajuan ketara dalam aspek ketersambungan digital dan penggunaan teknologi sepanjang sedekad lalu.
Namun, ketika kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang, ancaman siber bertambah canggih dan risiko dalam talian (online) menjadi semakin rumit, pakar berkata cabaran seterusnya bagi negara adalah membina kepercayaan, menjamin keselamatan dan mewujudkan tadbir urus yang bertanggungjawab.
Perkara itu menjadi mesej utama Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghimpunkan pengawal selia, pembuat dasar dan pemimpin industri bagi membincangkan cara Malaysia boleh kekal berdaya saing dalam dekad digital akan datang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika merasmikan persidangan itu menekankan pentingnya pengawal selia bertukar pandangan ketika kerajaan berdepan perubahan teknologi yang pantas serta risiko dalam talian yang semakin canggih.
Ketika Malaysia mempercepat langkah menuju dekad digital, panel bersetuju peraturan perlu berkembang seiring inovasi tanpa menjadi penghalang kepada kemajuan teknologi.
Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Faiz Abdullah memberi amaran terhadap kawal selia berlebihan kerana pasaran lazimnya berinovasi lebih pantas berbanding kemampuan kerajaan menggubal undang-undang.

Namun, beliau mengakui peraturan tetap diperlukan apabila terdapat risiko yang jelas terhadap masyarakat, khususnya dalam aspek keselamatan dalam talian.
Daripada melihat isu itu sebagai pilihan antara kawal selia atau inovasi, beberapa ahli panel berkata kerajaan perlu mengubah cara dasar dirangka.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bersama Pemandu Associates, Aida Azmi berkata, kerajaan dan perniagaan sering bergerak mengikut tempoh masa yang berbeza.
“Syarikat diberi ganjaran kerana berjaya membawa produk ke pasaran dengan pantas, manakala pengawal selia pula dijangka memastikan dasar yang dirangka benar-benar tepat sebelum dilaksanakan,” ujar Aida.
Beliau menggesa pembuat dasar menggunakan pendekatan lebih tangkas dan tidak lagi melihat peraturan sebagai dokumen tetap yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dipinda.
“Mewujudkan dasar seperti membangunkan sesuatu produk,” katanya sambil menegaskan peraturan perlu sentiasa ditambah baik berdasarkan maklum balas serta pengalaman pelaksanaannya dalam keadaan sebenar.
Kepercayaan sebagai asas utama
Dalam pada itu, sama ada perbincangan menyentuh AI, data peribadi atau media sosial, panel berulang kali menegaskan keyakinan masyarakat akhirnya akan menentukan kejayaan penggunaan teknologi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Malaysia, Mediha Mahmood berkata, kebimbangan terhadap platform yang digerakkan algoritma mendorong pengawal selia di seluruh dunia meneliti bukan sahaja kandungan berbahaya, tetapi juga sistem yang terus menyarankan bahan serupa kepada pengguna.

“Isunya bukan sekadar kandungan yang ditawarkan, tetapi bagaimana ia disampaikan dan berapa kerap kandungan sama terus disajikan kepada pengguna,” katanya.
Menurutnya, ciri seperti video dimainkan secara automatik, paparan skrin tanpa penghujung dan cadangan kandungan berdasarkan minat pengguna direka untuk meningkatkan interaksi.
Namun, ciri itu juga boleh memerangkap pengguna dalam ‘gelembung’ digital yang menyebabkan mereka berulang kali terdedah kepada pandangan serupa.
Katanya, selain platform perlu mewujudkan persekitaran digital lebih selamat, pengguna juga bertanggungjawab untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan platform digital.
Mengawal selia perkembangan pesat AI
AI turut mendominasi perbincangan, bukan sekadar mengenai potensinya, tetapi cara teknologi itu perlu dikawal selia, termasuk dari aspek keselamatan siber dan undang-undang.
Pemangku Ketua Bahagian Teknologi dan Perkhidmatan Pencegahan CyberSecurity Malaysia, Fazlan Abdullah berkata, daripada memberi amaran AI menjadikan e-mel pancingan data, penipuan dan video palsu atau deepfake semakin sukar dibezakan daripada kandungan sebenar.
“Pihak yang berniat jahat menggunakan AI untuk menyerang anda. Jika anda berada dalam sesebuah organisasi atau kerajaan, anda juga perlu menggunakan AI untuk mempertahankan diri daripada serangan AI,” katanya.

Beliau menggesa organisasi mengambil langkah keselamatan siber secara proaktif dan tidak hanya memikirkan soal keselamatan selepas sesuatu produk atau sistem dilaksanakan.
Cadangan Rang Undang-undang Tadbir Urus AI Malaysia, bersama penubuhan Pejabat AI Kebangsaan dan Institut Keselamatan AI, dilihat sebagai sebahagian usaha lebih menyeluruh untuk membentuk kerangka kawal selia berasaskan risiko.
Kerangka itu bertujuan menggalakkan inovasi sambil melindungi kepentingan orang ramai.
Pakar turut menegaskan kerangka berkenaan perlu kekal fleksibel supaya dapat disesuaikan dengan perkembangan teknologi yang pantas.
Dalam konteks serantau, Hazremi Hamid daripada Sekretariat Asean berkata, AI tidak boleh dikawal selia dengan berkesan sekiranya setiap negara bertindak secara bersendirian kerana data, perkhidmatan digital dan ancaman dalam talian merentasi sempadan.
Katanya, Asean sedang berusaha membangunkan prinsip bersama berkaitan tadbir urus AI, pengurusan data dan perkongsian maklumat, sambil mengambil kira tahap pembangunan digital yang berbeza antara negara anggota.
Bersedia menghadapi masa depan digital
Sepanjang 10 sesi dialog, perbincangan berulang kali menyentuh keperluan mempersiapkan masyarakat menghadapi masa depan digital.
Panel berkata daya saing negara bergantung pada kemampuan rakyat bukan sahaja menggunakan teknologi baharu, tetapi juga memahami cara mengendalikannya dengan selamat dan bertanggungjawab.
Walaupun sebahagian besar persidangan membincangkan algoritma, peraturan dan AI, mesej terpentingnya mungkin paling mudah: teknologi mesti terus berkhidmat kepada manusia, bukannya manusia tunduk kepada teknologi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
