Singkap rahsia warisan Johor

Persembahan zapin di Rumah Zapin Johor menghidupkan seni tari tradisional negeri ini menerusi gerak langkah cukup bersemangat.
Persembahan zapin di Rumah Zapin Johor menghidupkan seni tari tradisional negeri ini menerusi gerak langkah cukup bersemangat.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Di sebalik pembangunan pesat bandar raya ini, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar terus menjadi nadi pemeliharaan warisan Johor dengan menghimpunkan pelbagai khazanah sejarah, seni dan budaya negeri.

Terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru, kompleks ini umpama pintu masuk untuk mengenali identiti sebenar Bangsa Johor.

Setiap sudutnya membawa pengunjung menelusuri sejarah, seni, budaya dan warisan yang diwarisi sejak turun-temurun.

Sebaik melangkah masuk, pengunjung disambut dengan pelbagai tarikan menarik seperti Serambi Tradisi Johor, Rumah Zapin Johor, Galeri Seni Johor, Anjung Seni Warisan dan Galeri Tenun Johor.

Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB), destinasi mengenali sejarah, seni dan budaya Johor.
Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB), destinasi mengenali sejarah, seni dan budaya Johor.

Bukan sekadar melihat koleksi warisan, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan, mencuba permainan tradisional dan menggayakan busana tradisional sebagai kenangan.

Antara tarikan utama kompleks ini ialah Galeri Tenun Johor yang mempamerkan kehalusan seni tekstil tradisional negeri selatan tanah air ini.

Di sini, pengunjung dapat menyaksikan sendiri proses menghasilkan Kain Benang Johor yang memerlukan kesabaran, ketelitian dan kemahiran tinggi daripada penenun.

Artikel Berkaitan:

Setiap helaian kain bukan terhasil dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui lapan proses utama bermula daripada mencelup benang, menerai, menyampak, mengarat, menganing, menggulung dan menyongket sehingga proses akhir menyiapkan kain.

Bagi menghasilkan sehelai Kain Benang Johor berukuran kira-kira 2.15 meter, seseorang penenun memerlukan masa antara satu hingga dua bulan bergantung pada corak dan tahap kerumitan.

Antara koleksi tenunan warisan Johor
Antara koleksi tenunan warisan Johor

Keistimewaan tenunan Johor terletak pada motif bunga serta corak tersendiri yang menjadi identiti negeri ini.

Dahulunya dikenali sebagai Tenun Corak Muar, seni tekstil itu kini diangkat sebagai lambang kebanggaan Johor menerusi usaha Yayasan Warisan Johor memperkenalkan inovasi motif baharu dan memelihara keaslian warisan berkenaan.

Hidup kembali busana Johor

Selain seni tenunan, Serambi Tradisi Johor menjadi ruang yang membawa pengunjung mengenali keunikan busana tradisional negeri ini.

Pelbagai pakaian warisan dipamerkan termasuk baju Teluk Belanga, baju Cekak Musang Sejari, Kebaya Johor dan Kebaya Riau, selain busana masyarakat Cina, India serta Orang Asli yang mencerminkan kepelbagaian budaya dalam Bangsa Johor.

Jurulatih Tari merangkap Penyelaras Serambi Tradisi Johor, Zurawaty Husin berkata, pameran berkenaan memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri busana tradisional yang semakin jarang ditemui.

“Di Serambi Tradisi Johor, pengunjung dapat melihat pelbagai jenis busana tradisional yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini.

Zurawaty menunjukkan keunikan sanggul tradisional wanita Johor.
Zurawaty menunjukkan keunikan sanggul tradisional wanita Johor.

“Selain busana, kami turut mempamerkan lapan jenis sanggul tradisional wanita Johor seperti Sanggul Lima Manis, Sanggul Ekor Kera, Sanggul Lintang, Sanggul Kucing Tidur, Sanggul Lebah Tergantung, Sanggul Siput Tinggi dan Sanggul Sultanah,” katanya.

Menurutnya, pengunjung juga boleh menghidupkan pengalaman itu dengan menyewa busana tradisional lengkap serta mendapatkan khidmat fotografi sebagai kenangan.

Bagi penenun muda, Mohamad Sharil Ahmad, 24, kecintaan terhadap seni tenunan Johor bermula sejak kecil sebelum memilih untuk meneruskan warisan itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohamad Sharil penenun muda di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Mohamad Sharil penenun muda di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Kini, selepas enam tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, beliau melihat seni tenunan Johor mempunyai nilai istimewa yang perlu terus dipelihara.

Menurutnya, keunikan tenunan Johor terletak pada corak dan motif yang berbeza berbanding dengan negeri lain.

“Ramai mengenali tenunan dari negeri lain, tetapi apabila datang ke sini mereka terkejut kerana Johor juga mempunyai hasil tenunan sendiri dengan identiti tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, seseorang penenun memerlukan tempoh kira-kira enam bulan untuk benar-benar mahir menghasilkan kain tenun berkualiti.

Destinasi warisan untuk semua

Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sesuai menjadi pilihan keluarga, pelajar, pencinta sejarah mahupun pelancong luar negara yang ingin mengenali budaya Johor dengan lebih dekat.

Antara koleksi pakaian warisan yang dipamarkan.
Antara koleksi pakaian warisan yang dipamarkan.

Setiap galeri bukan sekadar mempamerkan artifak, tetapi turut menceritakan perjalanan panjang warisan negeri ini daripada generasi terdahulu kepada generasi masa kini.

Menerusi kempen ‘Let's Visit Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar’, Yayasan Warisan Johor berharap lebih ramai anggota masyarakat mendekati dan menghargai khazanah budaya negeri ini.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!