Johor pun ada batik!

Maimunah menunjukkan hasil batik yang menarik dan kreatif yang diusahakannya di Rumah Ranorm Batik Creation baru-baru ini. Foto: Bernama
Maimunah menunjukkan hasil batik yang menarik dan kreatif yang diusahakannya di Rumah Ranorm Batik Creation baru-baru ini. Foto: Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Persoalan yang sering berlegar dalam kalangan masyarakat kini menterjemahkan satu realiti baharu apabila Batik Johor mula memecahkan dominasi pasaran industri kraf tanah air yang selama ini dikuasai produk dari Pantai Timur.

Bukan sekadar helaian kain biasa, Batik Johor kini diangkat sebagai produk kraf premium yang mengangkat martabat warisan tradisi selatan tanah air dengan mengetengahkan elemen tempatan seperti lada hitam, gambir dan corak belang harimau sebagai lambang identiti negeri.

Pelopor Batik Johor, Maimunah Yaacob, 58, berkata, beliau menumpukan selama 31 tahun dalam usaha membangunkan dan memelihara seni kraf berkenaan di negeri itu.

"Saya menerima latihan asas mencanting pada 1993 di Terengganu sebelum meneruskan pengajian dalam bidang itu di Jalan Conlay, Kuala Lumpur selama dua tahun. Sekembalinya daripada program berkenaan, saya memulakan perniagaan dengan modal awal RM2,000 di ruang dapur rumah.

"Pada waktu itu, tidak semua orang menghargai batik, namun saya tekad mengusahakan perniagaan ini dengan memberi tumpuan kepada penghasilan produk unik yang belum dihasilkan orang lain,” katanya kepada Bernama.

Batik Johor kini diangkat sebagai produk kraf premium yang mengangkat martabat tradisi selatan tanah air, dengan mengetengahkan elemen warisan tempatan seperti lada hitam, gambir dan corak belang harimau sebagai lambang identiti. Foto: Bernama
Batik Johor kini diangkat sebagai produk kraf premium yang mengangkat martabat tradisi selatan tanah air, dengan mengetengahkan elemen warisan tempatan seperti lada hitam, gambir dan corak belang harimau sebagai lambang identiti. Foto: Bernama

Berkongsi mengenai keistimewaan Batik Johor, Maimunah berkata, keunikan produk itu terletak pada rekaan motif yang mengangkat khazanah alam serta sejarah setiap daerah di negeri berkenaan, dengan setiap corak yang dihasilkan mempunyai kaitan rapat dengan identiti tempatan.

"Sebagai contoh, daerah Muar dan Pontian diwakili menerusi motif pokok berembang serta buah nanas. Bagi kawasan Kota Tinggi dan Sedili pula, kami mengetengahkan elemen hutan paya bakau dan batu karang kerana kawasan itu dikelilingi laut.

Artikel Berkaitan:

"Lambang kemegahan warisan Johor seperti lada hitam, gambir serta corak harimau turut diadaptasi dalam rekaan fabrik ciptaan saya, sekali gus menterjemahkan identiti negeri dalam bentuk seni tekstil,” katanya yang mengusahakan kraf itu menerusi jenama Ranorm Batik Creation di Kampung Singapura, Tanjung Sedili.

Meskipun pasaran kini dibanjiri lambakan tekstil tiruan bercetak mesin, ibu kepada dua anak itu tetap komited mempertahankan kaedah pembuatan asli menggunakan lilin panas dan canting tradisional.

Menurutnya, kehalusan seni premium itu terbukti apabila pewarnaan yang dihasilkan mampu menembusi bahagian luar dan dalam kain secara sekata, sekali gus menjadi ciri utama yang membezakannya daripada kain cetakan kilang.

Antara hasil-hasil yang dipamerkan di Rumah Ranorm Batik Creation dengan corak yang menarik dan kreatif yang diusahakan oleh Maimunah. Foto: Bernama
Antara hasil-hasil yang dipamerkan di Rumah Ranorm Batik Creation dengan corak yang menarik dan kreatif yang diusahakan oleh Maimunah. Foto: Bernama

Mengulas sambutan terhadap produk berkenaan, Maimunah berkata Batik Johor kini menerima sambutan menggalakkan di platform tempatan menerusi Hari Kraf Kebangsaan di Kuala Lumpur dan Festival Kraf Johor, selain turut menarik minat pembeli antarabangsa termasuk dari Singapura.

"Produk saya dijual pada harga serendah RM35 bagi sehelai tudung dan boleh mencecah ratusan ringgit untuk persalinan kain sutera eksklusif. Selain itu, rekaan kini diolah lebih kontemporari dan kasual bagi menarik minat golongan muda,” katanya.

Beliau berharap pihak berkaitan dapat mewujudkan lebih banyak program atau kursus kemahiran pembuatan Batik Johor supaya seni warisan itu dapat terus dipelihara dan diwarisi generasi pelapis agar tidak hilang ditelan zaman. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!