JDT, Chelsea sama kuat

ISKANDAR PUTERI - Aksi persahabatan antara Juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Juara dunia Kelab FIFA, Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad berkesudahan seri 3-3.
Kedua-dua pasukan yang sedang bersiap sedia menghadapi saingan liga masing-masing menampilkan persembahan bertenaga sepanjang 90 minit perlawanan.
Gol pertama perlawanan hadir minit ke-14 menerusi pemain paling bernilai yang juga
Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi susulan hantaran tepat diterimanya daripada rakan sepasukan, Marcos Guilherme.
Asakan demi asakan ke kubu lawan kemudiannya berlaku antara kedua-dua pasukan namun gagal disudahkan dengan baik.
Chelsea yang terus dihimpit tekanan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Liam Delap pada minit ke-42.
Memasuki babak kedua, Chelsea memimpin permainan apabila sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Delap pada minit ke-62.
Namun, kegembiraan Chelsea tidak bertahan lama apabila Oscar Arribas berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma tiga minit kemudian.
Keputusan tuan rumah membawa masuk Bergson da Silva pada minit ke-78 dibuktikan apabila pemain itu menjaringkan gol ketiga pada minit ke-85 untuk JDT mendahului 3-2.
Kemaraan Chelsea menerusi empat pemainnya yang berada di kotak penalti lawan berhasil apabila hantaran silang berbahaya itu mengakibatkan pertahanan JDT, Antonio Glauder tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-88.
Keputusan 3-3 kekal hingga tamat perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
