Ibu maut selepas jemput anak dari sekolah

CHUKAI - Seorang wanita maut, manakala anak perempuan serta anak saudaranya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 123 Jalan KualaTerengganu-Kuantan berhampiran pekan Kemasik, dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa, Mariana Mat Hassan, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam kemalangan pada jam 1.40 tengah hari.
Sementara itu, beliau berkata, anak perempuan mangsa, Tuan Nur Aina Syifa Tuan Ab Rahman, 10, mengalami patah tangan kiri dan kaki kiri, manakala anak saudara mangsa Nur Alfira Miqaila Mohd Hilmi, 7, cedera pada tangan dan kaki kiri.
"Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Beat dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasik selepas menjemput anak dan anak saudaranya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menunggang secara melawan arus sebelum melanggar bahagian kiri hadapan sebuah lori yang sedang bergerak di sebelah kiri jalan," katanya ketika dihubungi.
Mohd Razi berkata, pemandu lori berkenaan yang berusia 40 tahun dari Kampung Baru Seri Aman, Johor Bharu tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata, anak perempuan serta anak saudara mangsa menerima rawatan di Hospital Kemaman, manakala mayat mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
