'Kayla hanya pinjaman 49 hari'

GUAR CHEMPEDAK - "Kayla hanya diberi pinjaman selama 49 hari, walaupun masih dalam keadaan terkejut namun kami tetap reda dengan pemergian ini.
Demikian luahan Mohd Redzuan Zainol, 41, yang juga merupakan bapa kepada pempengaruh cilik dikenali dengan nama Bang Aji atau Muhammad Aniq, 5, berhubung kematian anak kelimanya, Jumaat lalu.
"Saya terima panggilan dari isteri pada jam 9 pagi beritahu anak dalam keadaan sejuk dan tidak bergerak menyebabkan saya bergegas balik dari tempat kerja.
"Sampai saja di rumah saya cuba buat CPR tetapi yang saya nampak ialah cecair warna merah jambu keluar dari hidung kemungkinan susu yang sudah tercampur dengan darah," katanya.
Menurutnya, kali terakhir isteri memaklumkan menyusu bayi mereka pada sekitar jam 6 pagi hari yang sama.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Guar Chempedak sebelum dirujuk ke Hospital Yan, bagaimanapun, bayi tersebut disahkan meninggal dunia dan diarahkan melakukan prosedur bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar keesokan hari.
Mohd Redzuan mendakwa, dia dimaklumkan bahawa hasil laporan bedah siasat hanya boleh diperolehi dalam tempoh tiga bulan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Terkilan juga sebab perlu melalui proses bedah siasat, sebenarnya kami tak mahu buat tetapi dimaklumkan arahan melakukannya tidak boleh dibatalkan atas sebab prosedur.
"Selesai proses bedah siasat, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wustha sekitar jam 2 petang Sabtu," katanya.
Mohd Redzuan menjelaskan, semua rakaman di media sosial dibuat dalam tempoh 49 hari lalu termasuklah video Abang Aji membantu adiknya minum susu menggunakan botol.
"Video tu tak sampai 30 saat pun dia pegang, saya pun ada sekali... ramai salah anggap dan komen bukan-bukan seperti... sebab Abang Aji bagi susu, adik dia tersedak, bukan begitu!.
"Tetapi ingin saya jelaskan, Kayla diberi susu ibu sepenuhnya...cuma apabila ibunya tiada, susu dimasukkan ke dalam botol," jelasnya rakaman itu dibuat lebih awal bukan sebelum kejadian.
Jelasnya, ramai tidak tahu kelahiran Kayla, kerana mengambil keputusan enggan terlalu mendedahkannya kepada media sosial, tetapi setelah ketiadaannya, video yang dimuat naik hanya sekadar dijadikan kenang-kenangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

